Mangsa jatuh di Air Terjun Jerangkang dibawa turun
KUANTAN - Seorang lelaki yang cedera selepas tergelincir di laluan Air Terjun Jerangkang di sini, petang semalam berjaya dibawa turun kira-kira jam 3 pagi tadi.
Mangsa berusia 30 tahun yang cedera di bahagian pinggang, jari dan dagu kemudiannya dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Kejadian berlaku ketika mangsa melakukan aktiviti mendaki di tingkat 19 air terjun berkenaan sebelum tergelincir dan jatuh ke atas batu dari ketinggian kira-kira tujuh meter.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 2.28 petang semalam.
Menurutnya, operasi menyelamat digerakkan melibatkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas dan Kuantan bersama 12 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), pasukan Multi Skill Team (MUST) polis dan ranjer.
"Anggota MUST digerakkan dan tiba ke lokasi mangsa jatuh jam 11 malam.
"Kita turut menggerakkan unit udara dan darat untuk ke lokasi sebelum mangsa berjaya ditemui bagaimanapun usaha menaikkan mangsa menggunakan helikopter melalui kaedah "winching" tidak dapat dilakukan ekoran cuaca gelap, keadaan mula bumi dan kawasan dilitupi hutan tebal," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki cedera jatuh di Air Terjun Jerangkang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!