Terpaksa menumpang teduh di rumah saudara
SABAK BERNAM - Sebuah keluarga terpaksa menumpang sementara rumah saudara selepas kediaman mereka rosak teruk akibat dibadai ribut dalam kejadian di Kampung Parit Baru, Sungai Air Tawar, awal pagi tadi.
Lebih memilukan kejadian kita-kira jam 1.15 pagi itu berlaku ketika umat Islam ingin menyambut Hari Raya Aidiladha esok.
Roslani Mohd Mokhtar, 48, berkata, kediamannya itu tidak boleh didiami ketika ini kerana mengalami kerosakan teruk.
“Buat masa ini, kami belum baiki lagi bumbung yang tercabut manakala barang di dalam rumah rosak termasuk peralatan elektrik akibat terkena air hujan.
“Kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat sementara menunggu rumah dibaiki,” katanya.
Mengulas mengenai kejadian, Roslani berkata, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga baru bersiap untuk tidur di ruang tamu apabila terdengar bunyi pelik di luar rumah.
"Saya sangkakan bunyi besi berlaga disebabkan angin kuat. Tapi sangkaan saya meleset apabila melihat sendiri bumbung ruang tamu diterbangkan angin kuat.
"Dalam keadaan ribut dan hujan lebat, saya sekeluarga bergegas berlari keluar untuk berlindung di rumah jiran terdekat," katanya.
Roslani berkata, kejadian itu turut menyebabkan bumbung di bahagian dapur dan bilik tercabut diterbangkan angin.
Penduduk lain, Siti Rahnah Giman, 68, berkata, ketika kejadian dia baru melelapkan mata namun tiba-tiba ribut menghentam rumahnya dan menyebabkan sebahagian bumbung tercabut.
“Saya terpaksa batalkan niat nak tidur kerana bimbang keselamatan ahli keluarga lain yang berada dalam rumah ketika itu.
“Kejadian ribut berlaku lebih 10 minit menyebabkan bumbung zink rumah diterbangkan angin dan disebabkan keselamatan, kami terpaksa berlindung di tempat selamat,” katanya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail turut menziarahi mangsa terlibat.
Sementara itu, jurucakap Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor berkata, kawasan yang terjejas setakat ini iaitu Kampung Parit Satu, Bagan Nakhoda Omar (BNO), Parit Tujuh Gambut, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Sungai Besar, Parit Baru, Kampung Sungai Apong dan Sungai Air Tawar.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, hujan lebat dan angin kencang membadai beberapa tempat di Sabak Bernam, awal pagi tadi.
Kejadian bermula kira-kira jam 1.15 pagi tadi itu mengakibatkan beberapa kediaman penduduk dan premis perniagaan terjejas.
Kejadian ribut itu disifatkan luar biasa berlaku turut mengakibatkan banyak kejadian pokok tumbang, bumbung rumah diterbangkan angin, kereta dihempap pokok, selain kerosakan fizikal terhadap kemudahan awam dan menjejaskan lalu lintas.
ARTIKEL BERKAITAN: Sabak Bernam dibadai ribut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!