JBPM selamatkan mangsa jatuh tergelincir di Air Terjun Jerangkang
KUANTAN - Hampir 14 jam terperangkap dan menunggu bantuan tiba, akhirnya seorang juruteknik operasi berjaya diselamatkan selepas cedera akibat tergelincir di laluan Air Terjun Jerangkang di sini, petang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 2.28 petang semalam, memaklumkan kejadian seorang pendaki jatuh ketika menjalani aktiviti mendaki ke puncak Air Terjun Jerangkang.
"Kita telah menggerakkan unit udara yang tiba di sana kira-kira jam 6 petang, helikopter berlegar legar sekitar 20 minit mencari kesesuaian bagaimanapun keadaan mukabumi tidak mengizinkan helikopter untuk kaedah 'winching' kerana dilitupi hutan tebal.
"Keadaan cuaca semakin gelap juga menyukarkan operasi menyebabkan unit udara terpaksa berpatah balik ke ibu pejabat dan kita menggerakkan unit daratan pada jam 8 malam.
"Seramai 12 orang anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) termasuk seorang pegawai bergerak ke lokasi mangsa jatuh pada jam 8 malam dan sampai di lokasi mangsa jatuh pada jam 9 malam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Turut serta seorang anggota Emergency Medical Recue Services (EMRS) JBPM dan seorang anggota Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team (SMART).
Mangsa, Mohamad Izha Mohd Saai, 30, dipercayai tergelincir ketika sedang mendaki di tingkat 19 air terjun tersebut.
Berdasarkan kecederaan awal mangsa didapati alami kecederaan di tulang pinggul dan luka di dagu akibat jatuh dari ketinggian tujuh meter dan diserahkan ke Kuantan Medical Centre untuk rawatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!