Polis buru baki dua orang Geng Tebuk
MELAKA - Polis Melaka sedang giat memburu baki dua lelaki warga asing dari Geng Tebuk yang berjaya meloloskan diri selepas berbalas tembakan di persimpangan Jalan Tasek Utama, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada kira-kira 2.30 pagi ketika melakukan risikan terhadap kumpulan pecah peti besi yang aktif sejak tahun 2018 menerusi ‘Ops Tebuk’, telah menahan sebuah kereta yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Bagaimanapun kereta yang dinaiki empat orang lelaki warga asing itu, cuba meloloskan diri dari pemeriksaan polis, hingga berlaku kejar mengejar sejauh kira-kira dua kilometer.
“Kereta yang dinaiki suspek kemudiannya terbabas di bahu kiri jalan TU 16, dan seorang suspek di tempat duduk penumpang hadapan bertindak melepaskan tembakan ke arah polis, manakala seorang lagi melibas parang untuk menyerang anggota polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, hari ini.
Mohd Nor Yhazid berkata, kedua-dua lelaki berusia 30-an itu telah ditembak mati, manakala dua lagi berjaya melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran.
Katanya, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Revolver 38 bersama enam kelongsong peluru, satu bilah parang panjang, anak kunci kereta jenis Nissan, sebuah mesin grinder (penebuk) jenama Bosch, empat keping mata grinder, tiga bilah parang berhulu kayu, satu pemotong besi dan mesin penebuk dinding jenama Bosch.
“Polis berjaya menyelesaikan empat kes pecah pejabat dan pecah peti besi keselamatan, sejak 2018 di Melaka, dengan anggaran kerugian RM172,000 pada tahun ini dan masih giat memburu dua lagi suspek yang melarikan diri," katanya.
Katanya kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba membunuh dan mencuri kenderaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!