Jangan tangguh bantuan mangsa ribut

UMNO desak kerajaan negeri percepat bantuan kepada mangsa terlibat

Mat Nadzari (tiga dari kiri) bersama Rizam (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa ribut di Sabak Bernam, semalam.
Mat Nadzari (tiga dari kiri) bersama Rizam (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa ribut di Sabak Bernam, semalam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kerajaan negeri diingatkan tidak menangguhkan bantuan kepada mangsa hujan lebat dan angin kencang yang melanda beberapa kawasan di daerah Sabak Bernam, awal pagi tadi.

Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, bantuan yang dihulur itu tidak boleh ditangguh lama apatah lagi bencana berlaku sehari sebelum umat Islam menyambut Aidiladha.

"Dalam keadaan macam ini, jangan tangguh-tangguh lagi. Apa yang ada dalam peti besi (sumber kewangan) mereka itu keluarkanlah dan jangan disimpan lagi.

"Tak ada sebab mereka tak membantu masyarakat di sini. Kita sedih melihat persiapan sambutan Aidiladha penduduk musnah sekelip mata," katanya

Menurutnya, kerajaan negeri diyakini mempunyai kewangan mencukupi bagi membantu mangsa ribut selepas meluluskan dana tambahan RM123 juta menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi membantu rakyat di negeri ini.

"Saya yang menerima maklumat kejadian ini tengah hari tadi terus ke Sabak Bernam dan berkunjung ke rumah penduduk terlibat.

"Ramai peniaga pasar malam mengakui tidak boleh berniaga hari ini hingga menjejaskan pendapatan apatah lagi esok mereka hendak sambut raya," katanya.

Katanya, kerajaan Persekutuan yang diterajui BN sebelum ini amat memandang serius isu kebajikan rakyat termasuk bantuan kepada mangsa musibah.

Artikel Berkaitan:

"Jika dahulu sewaktu BN memerintah, kita akan pastikan makanan mencukupi, kalau perlu pindah kita pindahkan. Tak ada selimut dan kain batik kita lengkapkan untuk memastikan kebajikan rakyat ini tidak terabai," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail berkata, beliau berterima kasih kepada Md Nadzari kerana meluangkan masa melawat mangsa ribut.

" Hasil tinjauan saya sejak jam 3 pagi tadi mendapati sebanyak 266 rumah dilanda ribut dengan 56 daripadanya kritikal di DUN ini. Terdapat kedai musnah, pokok tumbang, selain melawat kawasan yang dihuni majoritinya penduduk Cina.

"Kita dapati, banyak bot mereka rosak dan tidak boleh lagi digunakan hingga hilang punca pendapatan. Begitu juga dengan kebun penduduk seperti tanaman pisang yang turut tumbang akibat angin kuat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!