Adik berhemah, jarang memandu laju
ALOR GAJAH - Pemandu Isuzu D-Max, Azahar Ahmad, 57 yang maut dalam kemalangan meragut enam nyawa malam tadi ialah seorang yang berhemah dalam pemanduan dan jarang memandu laju.
Kakaknya, Zainon Ahmad, 74, berkata dia dan keluarga terkejut dengan kejadian yang menimpa Azahar dan seorang lagi adiknya, Habibah, 62; isteri Azhar, Halimahtun Aris Padzil, 24; dan dua anak mereka Alia, 17; dan Alisa, 15 dalam kemalangan malam semalam.
Menurutnya, dia menerima berita menimpa dua adiknya itu daripada ahli keluarga terdekat kira-kira jam 1 pagi dan menyuruhnya bertenang kerana khuatir sesuatu menimpa dirinya yang menghidap penyakit darah tinggi.
"Saya terkejut dan menggigil bila diberitahu kejadian menimpa mereka sebab setahu saya Azahar bukan seorang yang suka memandu laju dan selalunya dia berhati-hati.
"Arwah (Azahar) memang selalu balik ke rumah ini bila cuti kerana ia rumah pusaka dan diduduki Habibah dan arwah suaminya. Setiap tahun dia akan balik beraya di sini," katanya ketika ditemui di rumah Allahyarham Habibah di Kampung Brisu di sini hari ini.
Jenazah Azahar dan Habibah yang disembahyangkan di Masjid Brisu di sini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Pering di Brisu kira-kira 5.30 petang.
Zainon berkata, Azahar yang juga pegawai Felcra Berhad di Seri iskandar, Perak tiba di rumah Habibah pada Khamis dan tidur semalam di rumah itu sebelum bergerak ke Yong Peng, Johor untuk mengambil dua anaknya, Alia dan Alisa di rumah bekas ibu mentuanya, Zaleha Nikmat, 62.
"Azahar dan Habibah sangat rapat. Dia (Azahar) selalu balik ke sini dan turut bersama Habibah menjaga rumah pusaka ini, kerana Habibah tinggal seorang diri," katanya yang tinggal di Kampung Solok Uban di sini.
Anak Azahar, Azri, 30, berkata kali terakhir beliau berhubung dengan arwah ayahnya melalui WhatsApp pada 2 Ogos lalu dan bapanya itu berpesan kepadanya untuk menjaga kesihatan.
Dia yang bekerja sebagai arkitek di sebuah syarikat swasta di Kuantan, Pahang berkata, bapanya seorang yang tegas tetapi mengambil berat tentang dirinya.
"Agak terkejut sebab hilang serentak kerana semua yang meninggal rapat dengan saya, termasuk dua anak ayah hasil perkahwinan keduanya," katanya yang juga anak sulung dan tunggal bersama bekas isteri pertama bapanya.
Selain lima sekeluarga, seorang lelaki berusia 51 tahun turut terkorban, dalam kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan iaitu Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max serta sebuah treler tanpa muatan pada 9.40 malam semalam.
Kejadian itu turut menyebabkan anak perempuan lelaki itu cedera parah, manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!