Dr Mahathir sertai ribuan jemaah solat Aidiladha
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyertai ribuan umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara di sini.
Solat sunat itu diimamkan Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.
Dr Mahathir ketika ditemui pemberita kemudian mengucapkan selamat hari raya Aidiladha kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.
Beliau turut mengingatkan umat Islam bahawa Aidiladha bukan hanya menuntut korban binatang ternakan, sebaliknya mereka mesti sanggup berkorban demi membantu masyarakat Islam yang memerlukan.
"Inilah harapan kita iaitu kita belajar tentang berkorban dan pentingnya pengorbanan di kalangan umat Islam," katanya.
Terdahulu, Syaikh Ismail dalam khutbah bertajuk Aidiladha: Di manakah Pengorbanan Kita? menyeru setiap umat Islam mengambil sikap prihatin dan bersedia berkorban menghulurkan bantuan kepada seluruh umat Islam yang hidup dalam kesusahan di serata dunia.
Beliau berkata pengorbanan dan bantuan adalah berdasarkan kemampuan sama ada dengan wang, tenaga, buah fikiran dan doa.
"Semoga dengan secebis pengorbanan yang kita hulurkan, ia tetap dinilai sebagai amal soleh dan sebagai bukti kejujuran iman kita kepada ALLAH SWT," katanya. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!