Tumpu tenaga pulih ekonomi
Saya menyokong penuh gesaan dua orang bekas menteri zaman Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kerajaan Barisan Nasional (BN), iaitu Tun Daim Zainiddin dan Tan Sri Rafidah Aziz, agar Pakatan Harapan (PH) berhenti berpolitik dan menumpukan perhatian kepada ekonomi negara.
Saya ingin tumpang sekaki dengan mengatakan berhentilah daripada berkomplot dan berkonspirasi untuk saling jatuh menjatuhkan dan memaksa Dr Mahathir memberi tarikh beliau akan memindahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berhati-hatilah agar peristiwa tahun 1997-98 tidak berulang. Ingatlah apa yang terjadi apabila usaha menjatuhkan Dr Mahathir dibuat ketika itu. Jangan abaikan sejarah. Tolong.
Manakala kita tidak melindungi atau mengizinkan kelakuan sumbang oleh pemimpin kita, tetapi haruslah ada had dalam berkomplot dan berkonspirasi agar tidak menjejaskan kestabilan negara.
Kalau pemimpin yang didakwa melakukan perbuatan sumbang benar-benar melakukannya maka eloklah mereka berundur agar tidak terus mencemarkan imej kerajaan.
Memang ada kebenaran kepada amaran Dr Mahathir bahawa perbuatan menggembar-gemburkan isu pemindahan kuasa daripada beliau kepada Anwar boleh menjejaskan keyakinan pelabur.
Malah itulah soalan yang paling kerap ditanya oleh pelabur tempatan dan luar negara. Mereka mahukan kepastian bahawa peralihan kuasa berlaku dengan licin. Hal ini sudah pun dipersetujui dan tercatat dalam manifesto PH.
Seperti telah saya nyatakan beberapa kali, walaupun asas ekonomi kita kukuh dan semakin diyakini hasil daripada pelaksanaan reformasi institusi dan sistem pentadbiran namun tidak dinafikan yang masih wujud kebimbangan bahawa ekonomi kita akan turut diracuni perang dagang Amerika-China.
Jadi adalah amat penting kita menumpukan sepenuh perhatian kepada pengukuhan dan perluasan ekonomi agar hasil negara bertambah, peluang pekerjaan meningkat dan pengangguran dikurangkan dengan lebih cepat.
Kerajaan memerlukan sepenuh tenaga bagi memperbetulkan beberapa kekangan besar dalam ekonomi negara, khususnya menambah pendapatan rakyat dan merapatkan jurang kekayaan yang kian melebar.
Gabungan sistem kapitalis dan sosialis yang menjadi teras Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-90 berjaya mengembangkan ekonomi dan, buat satu tempoh yang agak panjang, mengagihkan kekayaan sehingga terbasmi kemiskinan.
Tetapi akibat krisis ekonomi Asia 1997-1998, banyak kejayaan yang dicapai terhakis. Program pemulihan ekonomi yang berpaksikan pasaran bebas berjaya mengukuhkan semula ekonomi tetapi gagal mempertahankan pembahagian kekayaan.
Akibatnya, jurang pendapatan di antara yang kaya dan yang miskin, di antara satu kaum dengan satu kaum yang lain dan di kalangan anggota kaum yang sama, telah melebar semula. Malah ada kajian yang mendapati jurang pendapatan di antara golongan miskin dan kaya lebih luas daripada ketika DEB dimulakan.
Kajian agensi antarabangsa mendapati Malaysia adalah antara negara yang penduduknya paling gemuk (obes). Kes obesiti dan kerencat di kalangan kanak-kanak di negara kita adalah antara yang terburuk di dunia.
Sedangkan dalam banyak hal, Malaysia hari ini lebih kapitalistik daripada negara-negara kapitalis barat seperti Amerika dan Kesatuan Eropah sehingga hilang keaslian, jati diri dan harga diri.
Tidak ada apa lagi yang tidak dijual untuk memaksimumkan keuntungan. Badan bas, kereta api, kapal terbang dan teksi dijadikan ruang iklan. Hal ini tidak berlaku di Barat. Mereka amat bangga dengan identiti pengangkutan awam mereka.
Akibat daripada kapitalisme yang melampau ini jugalah maka maruah dan harga diri diperdagangkan dengan mudah dan murah sehinggakan dalam masa yang singkat kita menjadi antara negara paling korup dalam dunia.
Sistem pendidikan yang kucar-kacir menjadi lebih teruk akibat hipokrasi agama dan kaum sehinggakan generasi muda bukan sahaja tidak berminat dengan ilmu malah diracuni pula oleh sentimen bangsa dan agama yang melampau.
Di pihak lain pula mereka tidak dapat membezakan lagi antara yang baik dan buruk, betul dan salah sehingga sebahagian besar daripada mereka secara terbukan berkata mereka sanggup melakukan rasuah jika ada kuasa dan peluang.
Jadi pada ketikan kita sedang diancam oleh maladi (penyakit) ekonomi, moral dan intelektual yang ini, eloklah kita tumpukan perhatian ke arah memulihkan ekonomi negara, mempertingkat tahap moral dan mengisi minda kita dengan ilmu.
Kembalilah kepada amalan membaca agar kita tidak terus dibodohkan oleh omongan kosong media sosial dan politik murahan. Wallahuaklam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!