Operasi SAR hari ketiga diteruskan
PENGERANG - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kapal MV Amanda yang karam masuk hari ketiga hari ini diteruskan pada keluasan 120 batu nautika persegi.
Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, pencarian seorang lagi kru kapal dagang MV Amanda yang masih hilang dilakukan dua kapal dan dua bot.
Menurutnya, aset berkenaan daripada Maritim Malaysia, Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin meliputi kawasan timur Tanjung Penawar sehingga Tanjung Sepang.
"Mangsa seorang kru warga Bangladesh dipercayai memakai jaket keselamatan.
"Pencarian turut dilakukan sekitar pesisir Pantai Tanjung Punggai oleh anggota Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) dan sekitar Tanjung Sepang hingga Tanjung Penawar oleh Tentera Darat Malaysia jika mangsa hanyut ke pantai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, 92 anggota terlibat SAR terdiri daripada pelbagai agensi.
Pasukan penyelam dan pasukan salvage juga sudah memulakan penilaian kawasan selaman bagi mencari mangsa yang berkemungkinan terperangkap di dalam kapal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!