Jangan tangguh sertai persatuan bekas tentera
MACHANG - Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digalakkan menyertai persatuan bekas tentera yang sah di kawasan masing-masing bagi mendapat manfaat yang disediakan kerajaan termasuk kebajikan untuk ahli dan keluarga.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Syed Mohd Ifandi Syed Jaafar berkata, pesara ATM yang masih belum mendaftar perlu tampil menyertai mana-mana bekas persatuan tentera kerana banyak manfaat yang boleh diperolehi.
Menurutnya, melalui persatuan juga pesara akan mendapat maklumat terkini dan perkembangan terbaharu tentang apa sahaja kemudahan dan kelebihan yang disediakan kepada mereka.
Katanya, dalam masa yang sama, bekas anggota dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain sekalipun tidak lagi bekerja di bawah satu bumbung dan membawa haluan masing-masing.
"Masih ramai yang belum menyertai persatuan bekas tentera yang terdapat di kawasan tempat tinggal masing-masing sekaligus menyebabkan mereka tercicir dan tidak mendapat maklumat mengenai apa sahaja kemudahan yang disediakan kepada pesara.
"Sekalipun tidak lagi bertugas namun bekas anggota digalakkan menyertai persatuan seterusnya mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan seperjuangan," katanya kepada Sinar Harian ketika menziarahi bekas tentera, Halim Che Mat, 60 di Kampung Tualang Kelikir dekat Kampung Pek di sini semalam.
Pada kunjungan tersebut, JHEV turut menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada Halim bagi memudahkan pergerakannya di dalam rumah.
Hadir sama pada kunjungan tersebut, Yang Dipertua Persatuan Veteran Tentera Tak Berpencen (PVTTB) Kelantan, Mohd Rani Hussin dan Ketua Cawangan PVTTB Machang, Tengku Hassan Tengku Yusoff.
Halim yang merupakan bekas tentera tidak berpencen menghadapi masalah saraf sekaligus menjejaskan pergerakannya dan terpaksa berhenti kerja sejak tiga tahun lalu akibat penyakit tersebut.
Halim berkata, keadaannya bertambah teruk apabila kaki kirinya membengkak akibat jangkitan kuman sekaligus menyebabkannya tidak mampu berjalan dan memerlukan bantuan keluarga untuk menguruskannya.
Menurutnya, dia bertugas sebagai anggota tentera selama 13 tahun sebelum mengambil keputusan berhenti kerja dan melakukan pelbagai kerja kampung bagi mencari rezeki dan membesarkan anak-anak.
"Selepas kesihatan merosot sejak tiga tahun lepas saya terpaksa berhenti kerja dan bergantung kepada pendapatan isteri yang mengambil upah menjahit serta bantuan daripada anak-anak yang telah bekerja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!