Jangan jadikan kes kemalangan isu perkauman
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berharap agar seluruh masyarakat tidak menjadikan kes kemalangan kecil di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Sungai Besi sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki semalam sebagai satu isu perkauman.
Menurut beliau, tindakan ganas dan zalim tersebut seharusnya ditolak berikutan ia tidak dapat diterima dalam kalangan komuniti masyarakat.
"Biar polis selesaikan dulu siasatan berhubung kes ini.
"Saya harap ia tidak dibawa dalam kerangka perkauman dan yang paling penting tindakan ganas dan zalim harus ditentang semua pihak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki maut dipercayai akibat bergelut dengan seorang lelaki lain ekoran perselisihan faham antara mereka selepas terlibat dengan kemalangan sekitar jam 1.40 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 3.40 petang selepas menerima maklumat dari Hospital Nilai mengenai kejadian terbabit.
Susulan itu, pasangan suami isteri yang terbabit dalam pergelutan terbabit ditahan reman tujuh hari bermula semalam.
Perintah tahanan reman sehingga 17 Ogos terhadap pasangan suami isteri, masing-masing berusia 40 dan 36 tahun itu dikeluarkan di Mahkamah Kajang oleh Majistret Nor Afidah Idris.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!