Taufan Lekima: Dr Mahathir minta mangsa terjejas bersabar, bersyukur

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berucap ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Penduduk Kedawang sempena Majlis Korban di Masjid Ar-Rahman Kedawang hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berucap ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Penduduk Kedawang sempena Majlis Korban di Masjid Ar-Rahman Kedawang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta rakyat Malaysia yang terjejas akibat ribut susulan Taufan Lekima supaya bersabar dan bersyukur dengan bantuan yang diterima daripada pihak kerajaan.

Beliau berkata, walaupun bantuan yang diterima itu mungkin tidak seberapa, namun ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung.

“Hari ini kita menghadapi malapetaka iaitu angin kencang telah serang Langkawi ini dan banyaklah rumah yang runtuh dan sebagainya, tetapi Alhamdulillah semuanya mendapat bantuan.

“Mungkin bantuan itu tidak cukup, tapi dapat juga bantuan daripada kerajaan melalui wakil-wakil rakyat,” katanya semasa berucap pada majlis ramah mesra bersama penduduk sempena majlis Qurban di Kedawang di sini hari ini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia sangat beruntung kerana berbanding dengan sesetengah negara luar yang menghadapi bencana, rakyatnya tidak mendapat

bantuan.

“Saya teringat negara Nepal yang telah dilanda gerak gempa dan seluruh negara Nepal itu runtuh dan ramailah yang kehilangan rumah...dan mungkin kerana kerajaan mereka tidak mampu, negara Nepal masih berada dalam keadaan selepas gerak gempa,” katanya.

Dr Mahathir berkata, di Malaysia rakyat sering mendapat bantuan apabila dilanda bencana tidak kira sama ada bencana itu kecil ataupun besar.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun bantuan itu tidak pernah cukup tapi kita perlu berasa terhutang budi sedikit kerana di negara lain bantuan yang kita lihat seperti di sini tidak ada,” katanya.

Dalam pada itu, dalam ucapannya perdana menteri dalam nada sebak melaungkan tadbir: “Allah Maha Besar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilham.”

“Itulah yang kita sebut pada hari raya kerana kita bersyukur kepada ALLAH SWT,” katanya.

Perdana Menteri berkata, orang yang sentiasa bersyukur telah dijanjikan ALLAH dengan nikmat yang berlipat kali ganda.

Justeru beliau mengingatkan walaupun bantuan untuk mereka yang terjejas akibat ribut tersebut tidak seberapa, namun sedikit sebanyak mereka perlu bersyukur.

Jumaat lalu, ribut yang dipercayai berpunca oleh Taufan Lekima melanda beberapa negeri di Utara Semenanjung yang menyebabkan kerosakan kepada banyak kediaman penduduk dan bangunan lain, selain kejadian pokok tumbang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!