Pemuda UMNO Johor tuntut Shu Qi mohon maaf
JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor menggesa Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan dibuatnya mengenai tulisan jawi.
Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, Shu Qi juga digesa meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen kerana secara terang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
"Jika tiada permohonan maaf, Pemuda UMNO Johor menggesa pihak berkuasa di negara ini untuk mengambil tindakan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kata-kata yang menghasut," katanya di sini hari ini.
Mohd Hairi berkata, pemimpin DAP dan beberapa lagi pemimpin bukan Islam dari komponen Pakatan Harapan dilihat seperti cacing kepanasan apabila pengajaran khat jawi mahu diperkenalkan di sekolah.
Katanya, pelbagai alasan dan helah sama ada tidak berfakta, mengarut serta sengaja dijadikan sentimen perkauman mula digunakan pemimpin DAP demi mematahkan usaha untuk memartabatkan tulisan jawi.
"Ini dikeruhkan lagi dengan tindakan Shu Qi yang menyatakan di dalam satu majlis, jelas mempersendakan tulisan jawi dengan mengaitkannya sudah diguna pakai oleh majalah lucah.
"Beliau dengan bersahaja menyatakan bahawa sekiranya masyarakat Islam melihat perkara ini pasti menolak tulisan jawi ini kerana telah menghina agama Islam dengan penggunaannya di tempat yang tidak sepatutnya," katanya.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran ucapan dan kenyataan oleh Shu Qi sebagai seorang wakil rakyat terutama ahli Parlimen yang memegang kukuh pada rukun negara.
"Mengapa perlu beriya-iya sehingga menjadikan perkara itu sebagai bahan ucapan pada majlis terbuka?" katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!