Terjejas ribut: KPM peruntuk RM2.1 juta
ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan (KPM) menyalurkan peruntukan kecemasan sebanyak RM2.1 juta kepada semua sekolah dan institusi pendidikan di Kedah yang terjejas akibat ribut Jumaat lalu.
Exco Pendidikan Kedah, Dr Salmee Said berkata, peruntukan itu akan disalurkan kepada 171 buah sekolah di beberapa daerah yang mengalami kerosakan antaranya pada bahagian bumbung dan siling bangunan sekolah akibat kejadian ribut itu.
Menurutnya, kerosakan di semua sekolah itu akan dibaiki segera dan dijangka mengambil masa sebulan untuk dibaik pulih.
Dr Salmee berkata, bagaimanapun sepanjang minggu ini sesi pengajaran dan pembelajaran pelajar tidak terjejas memandangkan cuti Hari Raya Aidiladha dan cuti persekolahan sehingga 17 Ogos depan.
“Ahad depan, pelajar boleh meneruskan pembelajaran seperti biasa, bilik darjah yang terjejas dan rosak disarankan menggunakan dewan atau kantin untuk sementara waktu. Kelas harus berjalan seperti biasa dan kita tidak mahu insiden ini ganggu sesi pembelajaran,” katanya.
Berdasarkan kenyataan Kementerian Pendidikan, Taufan Lekima yang melanda Malaysia pada Jumaat lalu mengakibatkan 329 sekolah dan Institusi Pendidikan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang dan Terengganu mengalami kerosakan.
Kerosakan dianggarkan bernilai RM20 juta dan KPM mengambil tindakan segera membaiki kerosakan dengan menyalurkan peruntukan kecemasan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti serta agensi terlibat agar pembaikan dilaksanakan serta-merta.
Sementara itu, Exco Kebajikan Masyarakat Kedah, Halimaton Shaadiah Saad berkata, tinjauan ke rumah mangsa mendapati terdapat mangsa belum membuat laporan polis berhubung kejadian ribut yang mengakibatkan kerosakan rumah.
“Saya harap mereka tampil buat laporan polis untuk kita dapatkan jumlah sebenar mangsa terlibat, termasuk tafsiran kerugian sebelum kita menilai jumlah bantuan sewajarnya,” katanya.
Menurutnya, bantuan segera RM300 sudah mula diagihkan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak kelmarin secara berperingkat.
“Bantuan ini diberi kepada mangsa yang alami kerosakan rumah yang teruk, jika hanya dua keping atap diterbangkan angin, mungkin mereka tidak layak menerima bantuan ini. Kita akan bantu penduduk terjejas dengan menyediakan bantuan lain untuk baik pulih rumah yang rosak,” katanya.
Halimaton Shaadiah berkata, sebanyak 1,358 rumah di semua daerah di negeri ini mengalami kerosakan akibat ribut di mana daerah Kuala Muda mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 400 buah diikuti Kota Setar sebanyak 260 buah.
“Laporan Bilik Gerakan Ribut menunjukkan setakat semalam, gangguan bekalan elektrik yang diterima di seluruh negeri adalah 2770 aduan, di mana 1809 laporan telah siap dengan 65.31 peratus. Sebanyak 556 lagi dalam tindakan manakala 405 belum dilakukan,” katanya.
Menurutnya, kerja-kerja pasca bencana meliputi bantuan pemulihan dan pembersihan akan diteruskan oleh agensi terlibat sehingga selesai.
Kejadian ribut turut menyebabkan seramai 39 pesakit mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, selain merekodkan satu kes kematian di daerah Kubang Pasu melibatkan penunggang motosikal wanita berumur 27 tahun.
Sebanyak 310 laporan kes pokok tumbang dilaporkan di sekitar jalan raya dan tempat awam selepas ribut melanda beberapa kawasan di Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!