Menteri, mufti Kemboja meriahkan Aidiladha
![Meskipun terletak di pedalaman Kemboja, ibadah korban di Kampung Pak Phau lebih meriah dengan kehadiran menteri dan mufti Kemboja.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2019/08/13/424847.jpg)
KEMBOJA - Sambutan Hari Raya Aidiladha di Kampung Pak Phau di sini tahun ini lebih meriah dan bermakna dengan kehadiran Menteri Kanan Kemboja, Okhnya Datuk Dr Othsman.
Lebih istimewa, Mufti Kemboja, Okhnya Sos Komari turut hadir memeriahkan majlis meskipun jarak kampung itu ke Phnom Penh mengambil masa empat jam perjalanan dengan kereta.
Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican berkata, kehadiran kedua-dua pemimpin itu menunjukkan kegigihan mereka untuk bersama meraikan ibadah korban bersama penduduk setempat.
“Usaha ini jelas menunjukkan sikap ingin bersama masyarakat Islam yang agak besar di kampung ini.
“Kira-kira 2,000 penduduk berada di sini yang dikelilingi lima buah kampung kecil menyambut Hari Raya Aidiladha secara sederhana pada tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, sebanyak 14 ekor lembu dikorbankan tahun ini dan ia diagihkan kepada penduduk kampung tersebut.
“Tahun ini adalah tahun yang penuh bermakna kerana kehadiran Menteri Kanan Kemboja, Okhnya Datuk Dr Othsman Hassan dan Mufti Kemboja, Okhnya Sos Komari ke kampung ini.
“Ia sesuatu yang unik dan istimewa walaupun kampung ini jauh di pedalaman Kemboja tapi mereka tetap tiba ke sini.
“Apa yang pasti, Hari Raya Aidiladha tahun amat bermakna bagi saya selaku Pengerusi NGO Antarabangsa dan juga penduduk di kampung ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!