Reformasi undang-undang di bulan Julai

A
A
A

PADA 25 Julai 2019, Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-undang (Pindaan) Perlembagaan 2019 dengan majoriti dua pertiga. Ini selepas Dewan Rakyat meluluskan RUU pindaan yang sama pada 16 Julai 2019.

Dengan ini, Perlembagaan Persekutuan akan dipinda untuk menurunkan umur layak mengundi dan layak bertanding kepada 18 tahun. Pindaan yang dibuat juga akan membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk melaksanakan pendaftaran automatik.

Pindaan-pindaan ini mungkin sekali pindaan yang paling signifikan dalam sejarah Malaysia, berdasarkan impaknya memberi hak mengundi kepada berjuta rakyat Malaysia.

Akan tetapi, lulusnya pindaan-pindaan Perlembagaan tersebut bukan aktiviti tunggal Parlimen ketika Mesyuarat Kedua, Sesi Kedua Parlimen Malaysia yang ke 14 yang berlangsung dalam bulan Julai yang baru lepas.

Sesi Parlimen ini juga menyaksikan Dewan Rakyat dan Dewan Negara meluluskan usul-usul untuk mewajibkan Ahli Parlimen dan Senator-senator membuat pengisytiharan aset mereka.

Nilai aset mereka kemudiannya akan disiarkan di dalam laman sesawang yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Masyarakat madani telah lama menggesa wakil-wakil rakyat untuk mengisytiharkan harta mereka. Oleh itu, langkah meluluskan usul-usul tersebut akan menggalakkan ketelusan dan akauntibiliti pada pihak mereka yang memegang jawatan awam.

Di samping itu, Parlimen juga telah meluluskan pindaan ke atas Akta Perhimpunan Aman 2012. Akta tersebut telah digubal pada tahun 2012, untuk menggantikan Seksyen 27 Akta Polis.

Artikel Berkaitan:

Di bawah Akta tersebut, suatu perhimpunan aman tidak lagi memerlukan kelulusan daripada polis. Apa yang perlu dilakukan oleh penganjur perhimpunan adalah untuk memberi notifikasi kepada pihak polis sebelum ia berlangsung.

Dengan pindaan yang dibuat, tempoh untuk memberi notifikasi telah dipendekkan kepada 5 hari daripada 10 hari.

Pindaan yang dibuat juga akan membenarkan ‘protes jalanan’, yang sebelum ini diharamkan di bawah Akta tersebut. Protes jalanan ditakrifkan sebagai ‘suatu perhimpunan terbuka yang bermula dengan suatu perjumpaan di tempat yang ditentukan dan melibatkan perarakan atau perhimpunan beramai-ramai bagi maksud membantah atau memajukan sesuatu tujuan atau tujuan-tujuan tertentu’.

Walaupun pindaan-pindaan ini adalah langkah yang dialu-alukan, namun ramai berpendapat bahawa masih terdapat kekangan tidak wajar dalam Akta tersebut dan ia perlu dipinda selanjutnya.

Akhir sekali, pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat pada bulan Julai yang lepas, Kerajaan telah membentangkan Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salahlaku Polis 2019 (IPCMC).

RUU ini mahu mewujudkan sebuah badan pemantau bebas ke atas pasukan polis. Kekuatan dan kelemahan RUU IPCMC itu sudah tentu akan dibincangkan dengan mendalam dan kritikal, sebelum ia dibaca untuk kali kedua pada Mesyuarat Ketiga yang akan bermula bulan Oktober.

Bulan Julai telah menyaksikan banyak langkah positif ke arah reformasi undang-undang dan institusi. Namun demikian, masih terdapat banyak lagi perkara yang perlu memerlukan penambahbaikan dengan segara.

Adalah diharapkan bahawa kita akan menyaksikan lebih banyak perkembangan positif berkenaan dengan reformasi institusi dan undang-undang dalam bulan-bulan yang akan datang.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!