Bolehkah tinggalkan anggota sunat wuduk dengan sengaja?

JIKA tiada sebab yang kukuh dan alasan yang munasabah, jangan tinggalkan anggota sunat wuduk dengan sengaja. -Gambar hiasan
JIKA tiada sebab yang kukuh dan alasan yang munasabah, jangan tinggalkan anggota sunat wuduk dengan sengaja. -Gambar hiasan
A
A
A

SETIAP kali ingin menunaikan solat, kita wajib untuk berwuduk kerana ia membersihkan anggota wajib untuk menghilangkan hadas kecil.

Perkara itu tidak boleh dipandang remeh kerana ia bukan sahaja menentukan kesahan solat berkenaan, malah anggota tubuh yang tidak kena air wuduk itu akan masuk api neraka.

Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW.

Sabda baginda: "Nabi Muhammad SAW pernah terlewat menyertai kami dalam suatu perjalanan yang kami lakukan. Ketika Baginda menyusuli kami, waktu solat sudah hampir habis. Kami lalu berwuduk dengan hanya mengusap kaki kami (tidak sempurna membasuhnya). Maka baginda SAW menyeru dengan suara yang keras: “Celakalah bagi tumit-tumit yang tidak basah akan masuk neraka.” Baginda menyeru hingga dua atau tiga kali.” (Riwayat al-Bukhari)

Wuduk mempunyai anggota tubuh yang wajib dibasuh seperti dinyatakan dalam Surah al-Maidah, ayat 6.

Namun, kebanyakan kita akan membasuh lebih daripada anggota tubuh yang wajib untuk mengambil sunat ketika berwuduk.

Cuma mungkin dalam keadaan tertentu seperti cuaca sejuk contohnya, kita mungkin akan membasuh anggota yang wajib sahaja.

Apakah hukumnya apabila kita dengan sengaja meninggalkan anggota sunat wuduk seperti memasukkan air ke dalam hidung, membasuh telinga dan lain-lain?

Artikel Berkaitan:

Apakah kita dibolehkan melakukan perbuatan tersebut?

Sebelum menjawab persoalan berkenaan, perlu kita ketahui bahawa ibadah sunat itu terbahagi kepada tiga berdasarkan Usul al-Fiqh al-Islami li Wahbah al-Zuhaili iaitu:

1. Sunat muakkad: Sunat yang sangat dituntut iaitu perbuatan yang jika dilakukan mendapat pahala, tetapi tidak berdosa meninggalkannya, namun selayaknya mendapat celaan dan kutukan jika sengaja meninggalkannya.

Ia sunat yang sentiasa dilakukan oleh Rasulullah SAW daripada perkara ibadah yang jarang sekali ditinggalkan oleh baginda SAW seperti solat berjemaah, azan dan iqamah, membaca surah lain selepas membaca Surah al-Fatihah dalam solat dan lain-lain.

2. Sunat tidak muakkad: Sunat yang disyariatkan tetapi tidak dituntut seperti sunat muakkad iaitu perbuatan yang jika dilakukan mendapat pahala dan tidak berdosa meninggalkannya serta tidak selayaknya mendapat celaan dan kutukan jika meninggalkannya.

Ia ialah ibadah sunat yang dilakukan Rasulullah SAW sekali-sekala dan baginda SAW meninggalkan dalam banyak ketika seperti solat sunat empat rakaat sebelum solat Asar, berpuasa pada hari Isnin dan Khamis pada setiap minggu dan lain-lain.

3. Sunat Zawaid: Sunat yang bersifat penyempurnaan bagi seseorang mukalaf seperti perbuatan adat kebiasaan Rasulullah SAW.

Contohnya seperti mengikuti cara makan dan minum, cara berjalan, tidur dan cara berpakaian Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, sesiapa yang tidak melakukan dengan cara sebegini, ia tidak menjadi kecelaan terhadap dirinya.

Dalam hal wuduk, para ulama telah menetapkan bahawa terdapat anggota-anggota badan yang wajib dibasuh ketika mengambil wuduk iaitu membasuh seluruh muka berserta niat, membasuh tangan hingga ke siku, membasuh sebahagian daripada kepada sekurang-sekurangnya membasahkan tiga helai rambut, membasuh kaki hingga ke buku lali dan mengikut tertib.

Maka selain daripada anggota-anggota berkenaan, hukumnya ialah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut.

Ia seperti membaca basmalah ketika mula mengambil wuduk, membasuh tangan sebelum memasukkannya ke dalam bekas air, berkumur, memasukkan air ke dalam hidung, membasuh seluruh kepala, membasuh kedua-dua telinga, memulakan dengan anggota sebelah kanan, melaksanakannya secara berturut-turut, mengosok, membasuh setiap anggota dengan tiga kali basuhan dan lain-lain.

Justeru, meninggalkan sesuatu ibadah sunat yang dituntut (sunat muaakkad) ialah satu perbuatan yang tidak berdosa, namun selayaknya dicela kerana sengaja meninggalkan perintah daripada Nabi Muhammad SAW.

Ini kerana Rasulullah SAW sendiri menyuruh umatnya supaya memperelokkan wuduk dan menjanjikan bahawa sesiapa yang memperelokkan wuduknya maka akan keluarlah dosa-dosanya hingga keluar juga daripada kuku-kukunya.

Oleh itu, sesiapa yang membasuh anggota sunat wuduk, maka dia mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi ALLAH SWT.

Bagi yang meninggalkannya dengan sengaja, maka ia tidaklah berdosa jika sekiranya mempunyai sebab dan alasan tertentu seperti cuaca yang sejuk dan sebagainya.

Namun, jika dia sengaja meninggalkannya secara berterusan dan tanpa sebab dan alasan yang munasabah, maka hukumnya makruh.

Marilah kita berusaha untuk melaksanakan ibadah dengan sempurna dan sebaik mungkin dengan tidak meninggalkan basuhan anggota sunat wuduk tersebut jika tiada keuzuran untuk melakukannya.

Usahlah tergesa-gesa ketika berwuduk dan pastikan anggota wuduk dibasuh sebaik-baiknya.

(Sumber: #Al-Kafi #1329: Hukum Meninggalkan Basuhan Anggota Sunat Wuduk dengan Sengaja, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!