Nasib Kashmir lebih parah daripada Palestin

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melahirkan kerisauan dengan nasib Kashmir, yang didakwa akan menjadi lebih teruk daripada rakyat Palestin sekiranya tiada tindakan konkrit dilakukan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Gaza, Palestin sekurang-kurangnya boleh menentang di wilayah yang terkepung, namun warga Kashmir dikuasai dari dalam yang kini menjadi zon tentera tertinggi di dunia.

Menurutnya, kini dianggarkan seorang askar tentera yang lengkap bersenjata menjaga tujuh warga Kashmir, menyebabkan penduduk tidak ada ruang untuk bergerak.

“Dunia sekarang menyaksikan pengulangan Nakbah (malapetaka yang dialami Palestin) dilancarkan di lebih banyak wilayah, bahkan yang lebih kejam dan ganas jika seseorang mengambil kira senjata pembunuh moden di tangan jeneral tentera yang bersedia untuk menggunakan senjata canggih untuk sasaran membunuh warga awam.

“Keputusan kini berada di tangan agensi antarabangsa. PBB harus bertanggungjawab kepada dunia atas kegagalannya menyelesaikan konflik.

“Melalui mandatnya, agensi yang diberi kuasa, Majlis Keselamatan PBB tidak berfungsi untuk tujuan yang sepatutnya iaitu untuk menjaga keamanan dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, Majlis Keselamatan PBB hanya dilihat menjadi platform negara-negara kuasa besar yang menggadai berjuta-juta nyawa manusia dengan kuasa veto oleh lima anggota tetap dalam majlis tersebut.

“Kenyataan oleh Setiausaha Agong PBB, Anthony Guteres yang lemah dengan hanya mengungkap keprihatinan, tidak memadai. Tindakan konkrit diperlukan.

Artikel Berkaitan:

“Malang, setelah lebih seminggu berlalu sesudah India mengisytihar pemansuhan Perkara 370 dalam perlembagaan India (yang memansuhkan hak istimewa Kashmir), tercetusnya pertumpahan darah yang berkemungkinan besar akan berlaku, akan tetapi PBB sehingga hari ini masih tidak bertindak,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: China bimbang krisis Kashmir

Menurutnya, warga Kashmir akan menghadapi prospek menjadi pendatang di tanah asal mereka sendiri apabila India mendefinisikan kewarganegaraan India hanya sah jika selaras dengan nasionalisme Hindu.

“Kashmir kini akan mengalami kematian etnik dan agama secara perlahan oleh rejim India sama seperti kematian rakyat Palestin oleh rejim Israel zionis dalam tempoh tujuh dekad.

“Kedua-dua rakyat Palestin dan Kashmir mengalami penderitaan skala berat. Kedua-duanya menghadapi jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Kedua-duanya terdedah kepada pelanggaran hak asasi manusia, penangkapan sewenang-wenangnya, penahanan tanpa pertuduhan, pembunuhan tanpa pengadilan dan penyeksaan dalam tahanan,” katanya.

Tambahnya, paling menyedihkan apabila rakyat Palestin dan Kashmir dinafikan keadilan apabila semua resolusi PBB terhadap pelaku-pelaku tergantung tanpa penguatkuasaan undang-undang antarabangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!