Ainul sambut ulang tahun pertama hari ini
SHAH ALAM - Bayi yang selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan lidahnya, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin menyambut ulang tahun pertamanya hari ini.
Perkara itu dikongsi bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, di laman Facebooknya hari ini yang turut memuatkan video terbaharu bayi comel itu.
"Alhamdulillah, cukup usia Ainul Mardhiah setahun.
"Semoga ALLAH SWT merahmati dan melindungimu anak. Semoga jadi anak yang solehah, hamba yang taat dan menjadi insan yang bermanfaat kepada orang lain," katanya.
Ahmad Safiuddin turut meluahkan perasaan bahawa dia dan isterinya menyayangi Ainul.
"Walid dengan mama sayang Ainul!," tulisnya.
Dalam video itu, Ainul kelihatan comel memakai head band dan teruja bermain belon.
Pada masa sama netizen turut meninggalkan komen dan menitipkan doa buat Ainul sempena ulang tahunnya itu.
"Alhamdulillah... selamat ulang tahun baby Ainul... moga sihat ceria selalu dalam peliharaan ALLAH SWT," tulis Tin Nasir.
"Sanah Helwah Ainul sayang. Semoga membesar dengan sihat, jadi anak yang solehah, berbakti dengan kedua orang tua. Semoga Ainul sentiasa dalam lindungan ALLAH SWT," ucap Amierah Adriani Farah.
Ainul Mardhiah yang menghidap Germ Cell Tumor selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan seberat 200g di mulutnya di sebuah hospital di London.
Pembedahan dilakukan sekumpulan pakar bedah dan anestetik diketuai oleh Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.
Doktor berasal dari Malaysia, Dr Amalina Che Bakri dan Dr Julian Ong turut terlibat dalam pembedahan berisiko tinggi itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!