Kula Segaran gesa tindakan terhadap Zakir Naik

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran menggesa tindakan diambil terhadap penceramah dari India, Dr Zakir Naik kerana mempersoalkan kesetiaan masyarakat Hindu dan mengancam keharmonian pelbagai kaum di negara ini.

Menurut Naib Presiden DAP itu, Zakir sebagai orang asing yang hanya memiliki sedikit pengetahuan mengenai sejarah Malaysia tidak berhak merendahkan rakyat negara ini.

“Tindakannya tidak menggambarkan statusnya sebagai penduduk tetap dan perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Kabinet seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zakir dalam ceramahnya di Kelantan baru-baru ini didakwa telah membandingkan masyarakat Hindu di Malaysia yang dikatakan mendapat lebih banyak keistimewaan berbanding masyarakat Islam di India.

Penceramah itu juga mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Kula Segaran turut mempersoalkan sama ada Zakir cuba mencipta keresahan dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia agar dia dapat menikmati keistimewaan melalui sokongan masyarakat Islam untuk terus tinggal

di negara ini.

“Adakah Zakir juga sedang memanfaatkan polemik semasa berkaitan bangsa dan agama di negara ini demi kelangsungan hidup dan faedahnya dengan menggunakan wang pembayar cukai?” soalnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Malaysia ialah sebuah negara unik dan harmoni berbanding kebanyakan negara Islam lain disebabkan tindakan seimbang oleh pemimpinnya sejak kemerdekaan.

“Asas kestabilan sudah berakar umbi dalam menampung pelbagai kumpulan etnik, tanpa mempersoalkan kesetiaan mereka kepada negara. Undang-undang tertinggi negara adalah sekular dan mampu memberikan kebaikan kepada semua.

“Wajarkah Malaysia berpecah hanya kerana seorang lelaki bernama Zakir Naik?” katanya.

Menurut Kula Segaran, rakyat Malaysia perlu bersatu dan mengekalkan keamanan dengan mendedahkan strategi Zakir menggunakan sentimen agama dan kaum.

“Tiba masanya orang asing yang dalam buruan ini meninggalkan Malaysia dan berdepan dengan tuduhan keganasan dan penggubahan wang haram di India,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 70,000 ikuti ceramah Zakir Naik di Kelantan

ARTIKEL BERKAITAN: Status Zakir Naik buat Malaysia serba salah: Dr Mahathir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!