Alam harap penari dilayan sama rata
PENARI memainkan peranan penting dalam elemen mencantikkan persembahan seseorang penyanyi itu.
Alam atau nama sebenarnya Muhamad Haslam Abd Rahman, 33, merupakan seorang penari profesional yang lahir daripada kumpulan Wakaka Crew dan juga guru tari yang telah lama bertapak di lapangan hiburan tempatan sejak 2005.
Bahkan Alam yang juga juara program realiti tarian, So You Think Can Dance musim pertama pada 2009 telah mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa di Jerman, Taiwan, Thailand, Singapura, Indonesia, dan Amerika Syarikat.
Selain itu, Alam sudah menggalas beberapa tanggungjawab dalam program-program hiburan sebagai koreografer untuk pelbagai stesen TV, selain menjadi guru tari kepada penyanyi tanah air.
Memasuki tempoh 14 tahun sebagai guru tari, Alam menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH kerana rata-rata masyarakat sudah mengenali namanya sebagai penari profesional dan bukan lagi penari jalanan.
“Meskipun kadang kala ada yang suka membandingkan saya dengan koreografer profesional lain, namun saya ambil dengan positif dan perbaiki mutu pengajaran saya supaya tampil lebih kreatif.
“Dalam pada itu, kalau sebelum ini ada orang sekeliling yang mempersoalkan kerjaya penari boleh cari makan atau tidak, saya telah buktikan dengan adanya aset studio dan rumah serta mampu memiliki kereta dengan hasil keringat sendiri.
“Bukan itu sahaja, saya juga bangga melihat rata-rata penari di Malaysia hari ini sudah mampu membeli apa yang mereka mahukan,” luahnya.
Dalam masa yang sama, Alam berkata, penari tak mengharapkan layanan kelas A, tetapi cukup dilayan seperti manusia biasa yang ada hati dan perasaan.
“Kami sedar diri ini sebagai penari untuk penyanyi buat persembahan di atas pentas. Namun, seeloknya penari juga disediakan bilik persalinan supaya ada ruang untuk kami bersiap dan tukar pakaian atau berehat sebelum meneruskan persembahan seterusnya.
“Jadi pihak yang terlibat perlu peka kerana kami juga satu team dalam menjayakan persembahan artis terbabit. Dalam pada itu, diharap kita semua sentiasa merendah diri dan saling hormat menghormati,” ujarnya.
Alam ditemui di studio tariannya, Alamak Dance Studio by Alam Wakaka di Petaling Jaya baru-baru ini.
Sepanjang tempoh bergelar guru tari dan penari profesional, Alam juga seperti selebriti tempatan yang pernah mengalami cabaran tersendiri terutama ketika mengajar penyanyi untuk menari.
“Ada di antara mereka yang tidak mempunyai asas-asas dalam tarian sama ada pada genre tradisional mahupun moden.
“Masalah tersebut membuatkan saya perlu bekerja dengan lebih keras. Saya terlebih dahulu perlu memahami kemahuan mereka, dan selepas itu barulah saya dapat hasilkan koreografi yang senang untuk mereka ikuti.
“Selain itu, satu cabaran juga untuk menampakkan artis berkenaan boleh menari dengan lancar dan cantik sementara penari profesional perlu nampak rileks supaya tidak terlalu menyerlah,” jelasnya.
Alam turut menegaskan bahawa penyanyi yang mahu menjayakan persembahan mereka hendaklah menghadiri sesi latihan agar pada hari kejadian lancar tanpa sebarang kecacatan.
“Lazimnya cabaran mengajar penyanyi untuk menari di pentas persembahan dan pada program televisyen lebih kurang sama sahaja.
“Cuma, persembahan pada anugerah berprestij mestilah kena lebih kemas kerana melibatkan pertandingan, ibarat kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Jadi, penyanyi terbabit perlu menghadirkan diri ke sesi latihan,” tegasnya.
Kata Alam, biarpun penyanyi perlu fokus pada nyanyiannya, mereka yang tampil dengan penari berkumpulan, harus tahu dan sedar kemampuan antara tenaga dan pernafasannya ketika menyanyi sambil menari.
“Oleh sebab itulah penyanyi perlu hadir ke sesi latihan. Supaya dia tahu dan sedar, pada bahagian lirik mana yang sesuai untuk menari.
“Kalau menari dengan lagu rancak, namun terganggu kerana koreografi yang berat, hal itu akan mampu merosakkan persembahannya.
“Oleh sebab itulah penyanyi perlu hadir ke sesi latihan. Ketika latihan, dapat dikenal pasti pada bahagian mana sesuai untuk menari sambil menyanyi, jadi pada hari kejadian persembahan akan nampak bagus dan cantik,” akhirinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!