Kuasa tular, motosikal hilang ditemui semula
PONTIAN - Seorang peniaga tidak menyangka motosikal yang hilang ketika dia sekeluarga keluar makan di bandar pada malam Jumaat lalu ditemui semula dalam tempoh kurang 24 jam selepas tular di media sosial.
Hamidah Normanshah, 35, berkata, dia teramat sedih apabila motosikal jenis Honda Wave 125 berwarna biru yang digunakan untuk menghantar anak-anak ke sekolah hilang selepas pulang ke rumah kira-kira jam 10.30 malam.
Menurutnya, beberapa barang turut hilang antaranya beg tangan, kad bank dan tabung duit syiling.
"Pintu belakang rumah dalam keadaan terbuka ketika kami sampai di rumah. Saya dan suami terus buat laporan polis. Kami juga minta rakan bantu cari motosikal yang hilang itu dan dia bantu tularkan dalam media sosial.
"Pada petang Sabtu saya dihubungi seorang penduduk Kampung Paya Embun memaklumkan motosikal saya telah ditemui. Penduduk itu jelaskan dia tahu pasal motor saya hilang itu dari media sosial," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Hamidah berkata, polis dimaklumkan tentang penemuan motosikal miliknya dan seterusnya berjaya menahan pencuri terbabit dengan bantuan penduduk kampung.
"Terima kasih banyak-banyak bantu saya cari motosikal yang dicuri. Tak sangka ia ditemui semula selepas tular," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh mengesahkan kejadian dan tangkapan ke atas seorang suspek berusia 24 tahun.
Katanya, suspek positif dadah mempunyai empat rekod jenayah lampau kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!