PPM rampas 898 karton rokok tidak bercukai

Pelbagai jenama rokok dipercayai rokok tidak bercukai dirampas PPM Pelabuhan Klang dalam satu serbuan di Bandar Parkland Klang di sini semalam. - Foto PPM Pelabuhan Klang
Pelbagai jenama rokok dipercayai rokok tidak bercukai dirampas PPM Pelabuhan Klang dalam satu serbuan di Bandar Parkland Klang di sini semalam. - Foto PPM Pelabuhan Klang
A
A
A

KLANG - Sebanyak 898 karton rokok dipercayai rokok tidak bercukai berjumlah RM122,024.23 dirampas polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Bandar Parkland di sini semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah (1) Asisten Komisioner, Rosman Ismail berkata, serbuan dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang sekitar jam 10 pagi semalam selepas mengekori sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan jalan Klang Banting sehingga kawasan perumahan Parkland.

Menurutnya, pasukan serbuan yang mengekori kenderaan tersebut bagaimanapun telah dihalang oleh pengawal keselamatan daripada memasuki kawasan perumahan itu.

"Namun, setelah memperkenalkan diri sebagai polis dan bercakap dengan pihak pengurusan perumahan kami dibenarkan masuk.

"Apabila sampai di rumah beralamat Jalan Kristal 4F/K29, Bandar Parkland kelihatan sebuah kereta jenis Toyota Vios warna putih berada dalam parkir rumah tersebut dengan pagar tidak bertutup," katanya.

Rosman berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu pihaknya menjumpai anggaran lebih kurang 100 karton rokok disimpan dalam bonet.

"Polis turut menemui kunci rumah dalam kereta tersebut.

"Pemeriksaan ke atas rumah pula kami menemui anggaran lebih kurang 798 karton rokok pelbagai jenama yang disimpan dalam salah sebuah bilik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua rokok dan kenderaan yang disita dibawa balik ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

Katanya, PPM akan terus mempertingkatkan lagi pengumpulan maklumat dan operasi dari masa ke semasa bagi menangani kegiatan penyeludupan rokok di perairan negara.

"Untuk rekod, sepanjang Januari hingga minggu pertama bulan ini sebanyak 21 kes dengan tangkapan dan rampasan di bawah Akta Kastam 1967 telah berjaya dibuat oleh PPM Pelabuhan Klang berbanding hanya enam kes pada tempoh sama tahun lalu.

"Ia membabitkan nilai rampasan rokok, arak dan kenderaan dengan nilai anggaran berjumlah RM10,668,154.96 berbanding tahun lalu bagi tempoh sama hanya RM367,225," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!