Sepanduk gesa ADUN Teja letak jawatan

Sepanduk yang dipasang di pagar Pasar Gopeng dan tular di media sosial.
Sepanduk yang dipasang di pagar Pasar Gopeng dan tular di media sosial.
A
A
A

IPOH - "Perkara ini mungkin berpunca akibat rasa tidak puas hati," itu reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Sandrea Ng berhubung sepanduk yang menggesa beliau meletak jawatan di Pasar Awam Gopeng dan tular di media sosial baru-baru ini.

Sandrea berkata, dia sendiri tidak pasti apakah maksud sebenar yang cuba disampaikan oleh pihak terbabit.

Menurutnya, pihaknya telah cuba melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin selama ini.

"Daripada ayat dalam banner (sepanduk) itu, saya sebenarnya tidak dapat pastikan apa yang dimaksudkan kerana selama ini saya cuba laksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan sedaya upaya dan agak terperanjat apabila dikaitkan dengan tuduhan yang saya nampak amat serius ini," katanya.

Namun katanya, mengikut tekaannya mungkin ia berkaitan dengan isu tangkapan lembu yang berkeliaran di beberapa lokasi di Gopeng baru-baru ini.

"Ini kerana pemilik lembu pernah memohon bantuan kami untuk dapatkan diskaun kompaun, namun setelah pusat khidmat saya membuat semakan dengan pihak majlis (Majlis Daerah Kampar), didapati tiada diskaun yang dimaksudkan.

"Kami telah memaklumkannya kepada pemilik dan meminta mereka berurusan terus dengan pihak majlis," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu Sandrea berkata, perkara berkenaan cuma tekaan semata-semata dan diharapkan agar pihak terlibat tampil untuk berbincang sekali gus menyelesaikan permasalahan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai perlu tampil bagi membincangkan apa juga perkara khususnya sebarang permasalahan yang dihadapi.

"Cara yang digunakan sekarang bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah; malah mengelirukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!