Tip pakaian ke sesi temu duga kerja
SESI temu duga akan berlangsung dengan lancar sekiranya individu hadir dalam keadaan bersedia dari segi resume lengkap, beretika dan mengenal pasti latar belakang syarikat yang dimohon.
Ia termasuklah, menitikberatkan aspek penampilan diri daripada hujung rambut hingga kaki dan pemilihan pakaian yang betul.
Justeru, buat golongan jejaka yang bakal menghadiri sesi interviu e-Trend kongsikan empat tip utama:
1- Kemeja
Sebelum menghadiri sesi temu duga pastikan anda meneliti syarat dan kriteria pakaian yang ditetapkan berdasarkan jawatan dimohon.
Bagaimanapun, secara asasnya golongan jejaka dinasihatkan supaya menyarungkan kemeja berkolar rona putih ataupun pastel yang sesuai disuai padan bersama kot pilihan.
Pastikan hujung lengan kemeja di butang dengan baik berbanding dilipat kerana ia tidak profesional.
Sementara itu, kot atau sut warna korporat seperti hitam, kelabu atau biru gelap antara pilihan ideal memandangkan ia tampak serasa apabila dipadankan bersama kemeja nuansa cerah.
Ingat jangan sesekali mengenakan kot bercorak, fabrik denim atau warna terang kerana busana itu hanya sesuai untuk acara semi formal.
2- Seluar slack
Dari aspek celana pula pilih seluar slack warna gelap yang ideal digayakan dengan sut dipakai. Namun begitu, jangan lupa untuk menggosok seluar dan memakainya bersama tali pinggang hitam.
Elakkan seluar jean, seluar pendek atau seluar khaki konsep ranggi serta potongan tirus.
3- Tali leher
Pilih tali leher rekaan formal, warna gelap dan corak minimalis bagi menampilkan gaya korporat dan profesional.
4- Kasut
Jangan memakai kasut sukan, sandal atau sneakers. Sebaiknya sarungkan kasut yang sesuai digayakan ke pejabat. Pastikan ia dalam keadaan bersih dan berkilat serta warna gelap.
Selain itu, pilih sarung kaki yang sepadan dengan warna kasut dan tali pinggang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!