Penagih maut ketika menyamun
LENGGONG - Seorang penyamun dipercayai penagih dadah maut selepas berlaku pergelutan ketika dia cuba menyamun seorang ibu tunggal menggunakan pisau di Kampung Lata Kekabu di sini awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, ketika kejadian pada jam 6.30 pagi, suspek yang berusia 30-an memasuki rumah mangsa melalui pintu utama untuk menyamun.
"Semasa kejadian mangsa berada di rumah bersama anak lelakinya berusia 16 tahun dan suspek mengacukan sebilah pisau ke arah ibu tunggal berkenaan dan berlaku pergelutan.
"Anak lelaki mangsa berjaya menjatuhkan suspek ke lantai sebelum suspek disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Lenggong," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Menurut Anuar, suspek merupakan seorang penagih dadah yang sering melakukan kes pecah rumah di sekitar Pekan Lenggong.
"Mayat suspek dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut dan punca sebenar kematian masih dalam siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!