Dong Zong memang rasis, hanya cakap soal orang Cina: PM

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada media selepas menghadiri majlis Kuala Lumpur International Airport (KLIA) Turns 21: A Precious Legacy, Sepang di sini hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada media selepas menghadiri majlis Kuala Lumpur International Airport (KLIA) Turns 21: A Precious Legacy, Sepang di sini hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan kenyataannya melabel Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sebagai rasis.

Menurutnya, Dong Zong tidak pernah berkata apa-apa tentang Malaysia meskipun negara ini berbilang kaum dan hanya membangkitkan isu berkaitan masyarakat Cina sahaja.

“Mereka tak pernah bercakap tentang Malaysia. Mereka hanya memperjuangkan satu bangsa. Malaysia adalah negara berbilang kaum, kalau lakukan sesuatu kena jaga perasaan kaum lain.

ARTIKEL BERKAITAN: PM anggap Dong Zong rasis

“Dong Zong tak pernah kata apa tentang Malaysia dan selalu cakap tentang pendidikan masyarakat Cina. Bahkan semasa saya usulkan untuk wujudkan Sekolah Wawasan untuk satukan rakyat, mereka menolak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Kuala Lumpur International Airport (KLIA) Turns 21: A Precious Legacy di sini petang ini.

Tambah Dr Mahathir, Dong Zong juga membantah apabila beliau mencadangkan penubuhan Sekolah Wawasan yang bertujuan menyatukan rakyat.

“Dong Zong membantah kerana ia mungkin membuat kanak-kanak Melayu bercampur dengan kanak-kanak Cina. Itu pemikiran yang sangat rasis.

“Apa salahnya kalau orang Melayu dan Cina dan kaum lain pergi ke sekolah bersama-sama. Masa saya sekolah dulu, ada orang Melayu, Cina, Punjabi dan India, semuanya baik sahaja.

“Begitupun menurut Dong Zong, mereka tidak boleh berada berdekatan antara satu sama lain,” tegas beliau.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, disebabkan pemikiran sebegitu beliau tetap mengatakan Dong Zong pertubuhan yang rasis kerana menumpukan kepada mempertahankan komunitinya sahaja.

Hari ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan Dong Zong sebagai rasis adalah tidak benar.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga menegaskan Dong Zong juga salah apabila mendakwa tindakan kerajaan memperkenalkan tulisan jawi di sekolah sebagai satu bentuk gerakan Islamisasi.

“Dr Mahathir salah menggelarkan Dong Zong sebagai rasis tetapi Dong Zong juga tidak betul apabila mendakwa pembelajaran tulisan khat bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tahun 4 di Sekolah Cina dan Tamil bermula 2020 sebagai permulaan Islamisasi.

“Kedua-dua insiden itu menimbulkan salah tafsir untuk perlaksanaan pembelajaran tulisan khat berkenaan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan Dong Zong yang menolak label rasis yang dilontarkan Dr Mahathir terhadap mereka.

“Dong Zong dan Jiao Zong berasa amat kesal atas tuduhan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 Ogos, malah menafikan dengan tegas label yang dilontarkan ke atas Dong Zong, kononnya Dong Zong yang menolak pengajaran seni khat adalah badan rasis yang menolak segala usaha kerajaan dalam pendidikan,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!