Ambil iktibar insiden kematian Syed Muhammad Danial

Rakaman dari video insiden yang tular di media sosial. (Gambar kecil: Halim Ishak)
Rakaman dari video insiden yang tular di media sosial. (Gambar kecil: Halim Ishak)
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat di negara ini perlu menjadikan tragedi kematian disebabkan insiden pergaduhan kerana kemalangan yang berlaku baru-baru ini sebagai iktibar agar bersikap lebih bertolak ansur.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, insiden pergaduhan sehingga membawa kepada kematian tidak sepatutnya berlaku jika kedua belah pihak mengambil pendekatan bertolak ansur, mengawal kemarahan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

Menurutnya, pihak terlibat juga boleh melaporkan kepada syarikat insurans masing-masing bagi membuat tuntutan untuk menyelesaikan kerugian yang dialami.

“Biar pihak polis menjalankan siasatan secara profesional. Kedua belah pihak juga memiliki syarikat insurans masing-masing dan tidak perlu bergaduh sehingga mendatangkan kecederaan atau kematian.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri sebabkan kematian lelaki direman tujuh hari

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menegakkan aspek perpaduan dan bersikap tolak ansur serta mengamalkan budi pekerti yang mulia. Tidak perlu bergaduh untuk melahirkan rasa tidak puas hati atau kemarahan. Kita ada undang-undang yang melindungi semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa pemimpin politik agar tidak menjadikan insiden itu untuk mengeruhkan lagi keadaan.

Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab hanya akan memecahbelahkan lagi perpaduan dalam masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Pengguna jalan raya harus mengambil iktibar daripada insiden ini supaya mengamalkan sikap berbudi, bertolak ansur dan berhemah ketika di jalan raya. Jika berlaku kemalangan, tidak perlulah bergaduh sehingga boleh mendatangkan kecederaan dan kematian.

Kita sedia maklum, apa sahaja kemalangan membabitkan kenderaan, kita boleh merujuk kepada syarikat insurans masing-masing.

“Malangnya, sebahagian besar rakyat masih dibelenggu dengan perangai lama dan menuntut pihak yang mereka rasa bersalah untuk membayar ganti rugi segera. Mereka lupa bahawa bila berlaku kemalangan kereta, kita ada syarikat insurans dan laporan polis perlu dibuat. Sudah sampai masanya rakyat bersikap matang dalam soal ini,” katanya.

Sabtu lalu, seorang pemandu Perodua Axia, Syed Muhammad Danial Syed Shakir, 29, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Nilai Medical Centre selepas terlibat dalam satu pergaduhan selepas berlaku kemalangan di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara - Selatan berhampiran susur Bandar Baru Bangi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!