Masjid Tok Keling masjid ketiga dibakar
ALOR SETAR - Masjid Tok Keling, Alor Mengkudu di sini dikenal pasti sebagai sebagai masjid ketiga di Kedah yang dibakar individu tidak bertanggungjawab.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, bahagian tingkap masjid berkenaan didapati cuba dibakar suspek dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam sehingga kompresor pendingin hawa rosak akibat terbakar.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan kejadian berhubung kebakaran terbabit daripada orang awam dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini tadi.
"Berdasarkan pemeriksaan, kita mendapati kedudukan Masjid Tok Keling hanya terletak kira-kira dua kilometer dari dua lagi masjid yang dilaporkan turut terbabit, semalam.
"Susulan itu, anggota Unit Forensik Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dihantar ke lokasi kejadian demi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, kata beliau, suspek berusia 26 tahun yang ditahan kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 19 Ogos depan demi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, pihaknya mendapati suspek yang ditahan bebas dari pengaruh dadah berdasarkan ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek.
Zainuddin berkata, pihaknya percaya yakin dapat menyelesaikan kes khianat dilakukan individu tidak bertanggungjawab di tiga masjid ini dalam tempoh terdekat.
Hari ini, Sinar Harian melaporkan permaidani terletak di ruang solat utama Masjid Kampung Rambai dan Masjid Pendang cuba dibakar dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, semalam, dipercayai dilakukan sekurang-kurangnya dua lelaki sebelum disedari jemaah ingin menunaikan solat Subuh.
Sehubungan itu, pihak polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun demi membantu siasatan dan kini dalam usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ditahan kes kebakaran di dua masjid
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!