Tentera adalah pilihan terakhir negara

Liew Chin Tong
Liew Chin Tong
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak harus faham konsep kesiapsiagaan angkatan tentera sebagai pilihan terakhir dan perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, perkara berhubung peranan angkatan tentera telah dijelaskan menerusi hantaran di laman web rasmi beliau pada 13 Julai lalu.

Menurutnya, pada masa aman, angkatan tentera mempunyai peranan membantu pelbagai agensi tempatan dan misi-misi antarabangsa.

“Tentera adalah langkah dan pilihan terakhir bagi negara. Memetik pepatah Latin, ‘si vis pacem, parabellum’; jika mahu keamanan, bersiap sedia untuk peperangan.

“Salah faham awam yang diperlihatkan melalui tulisan (ahli perniagaan) Koon Yew Yin adalah amat dikesalkan.

"Inilah salah faham yang perlu diperbetulkan sepertimana salah faham bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru beliau berkata, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar keturunan dan kelas ekonomi sama ada awam atau tentera perlu berusaha memahami peranan dan pengorbanan angkatan tentera dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Sempena bulan kemerdekaan ini marilah kita sama-sama menghayati pengorbanan angkatan tentera demi mengekalkan keamanan serta mengisi kemerdekaan yang kita kecapi. Marilah kita memberi sokongan penuh kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Koon Yew Yin menerusi blog kendaliannya hari ini menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan terlalu besar.

Beliau turut menulis bahawa anggota tentera hanya makan dan tidur dan majoriti mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran.

Kenyataan itu menimbulkan rasa kurang senang kebanyakan pihak yang menyifatkannya sebagai kenyataan biadab.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!