Ribut: Rezeki buat tukang rumah

Isa bersama dua pekerjanya sedang membaiki sebuah rumah yang rosak akibat dibadai ribut dalam kejadian malam Jumaat lalu. Gambar kecil: Isa
Isa bersama dua pekerjanya sedang membaiki sebuah rumah yang rosak akibat dibadai ribut dalam kejadian malam Jumaat lalu. Gambar kecil: Isa
A
A
A

BATU KAWAN - Kejadian ribut yang berlaku pada malam Jumaat lalu sudah pasti menjadi mimpi ngeri kepada penduduk di negeri ini terutamanya mereka yang terjejas dengan bencana itu.

Namun kejadian tidak diduga itu membuka pintu rezeki buat seorang tukang rumah, Isa Ali, 52, apabila khidmat dan kepakarannya diperlukan oleh penduduk yang mengalami kerosakan rumah disebabkan angin kuat dan selain ada yang ditimpa pokok tumbang dalam kejadian itu.

Isa yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang pertukangan dan renovasi rumah berkata, walaupun kejadian berkenaan turut menyebabkan bumbung stor rumahnya rosak namun dia terpaksa mengabaikannya dan mendahului permintaan penduduk yang mahu membaiki rumah mereka.

Dia yang memiliki seramai lapan orang pekerja berkata, 10 pemilik rumah di kawasan Kampung Sekolah Juru menghubungi dan mahu menggunakan perkhidmatannya namun dia terpaksa menolak tempahan beberapa buah rumah disebabkan kekangan masa dan pekerja.

"Ramai pekerja saya cuti sempena Aidiladha dan bahan yang diperlukan tidak mencukupi. Jadi saya pilih untuk baiki tujuh rumah yang buat tempahan awal dahulu.

"Kebanyakan rumah yang terjejas akibat kejadian ini mengalami kerosakan di bahagian bumbung rumah dan pemilik mahu ia dibaiki segera kerana bimbang peralatan elektrik dan perabot di dalam rumah mereka rosak sekiranya hujan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Ditanya mengenai kadar caj yang dikenakan, Isa berkata, kos membaiki bumbung rumah dianggarkan berjumlah RM3,000 bergantung kepada kerosakan yang dialami dan saiz rumah termasuk kos upah pekerja.

Katanya, dengan tenaga kerja yang terhad selain keadaan cuaca yang tidak menentu, dia menjangkakan dapat menyiapkan tujuh rumah pertama yang rosak ini dalam tempoh lima hari.

Artikel Berkaitan:

"Saya terpaksa lupakan seketika keadaan bumbung stor rumah yang rosak untuk membaiki rumah pelanggan dan buat sementara waktu saya gantikan zink yang terbang itu dengan daun nipah untuk melindungi barang serta perkakas di dalam stor berkenaan.

"Walaupun penduduk mahukan rumah mereka dibaiki dalam tempoh segera namun saya perlu juga pastikan kualiti kerja dan bumbung rumah dipasang dengan rapi agar mereka boleh kembali tinggal di rumah masing-masing dalam keadaan selesa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!