Risikan AS dakwa China kerah tentera ke sempadan HK
WASHINGTON - Risikan Amerika Syarikat (AS) memberi amaran China didakwa telah mengerahkan pasukan tentera mereka ke sempadan Hong Kong.
Perkara itu turut disahkan Presiden Donald Trump menerusi Twitter semalam.
Kelmarin, media tempatan di China mengeluarkan rakaman video memaparkan pergerakan sejumlah besar kenderaan perisai dan kereta kebal di bandar Shenzhen yang terletak di sempadan Hong Kong.
Klip tersebut dikeluarkan selepas krisis dramatik selama 10 minggu itu kini menjadi cabaran paling besar kepada Hong Kong sejak bandar raya itu diserahkan kepada China oleh British pada 1997.
ARTIKEL BERKAITAN: Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong gantung proses daftar masuk
Akhbar People’s Daily melaporkan konvoi kenderaan perisai itu menuju ke Shenzhen untuk tujuan latihan.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam memberi amaran protes ganas tersebut seakan memacu bandar raya itu kepada ‘jalan mati’.
“Situasi ini akan menyebabkan masyarakat terjerumus ke dalam situasi berbahaya. Ia sangat membimbangkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong terus lumpuh selepas ribuan penunjuk perasaan kembali mengadakan protes yang memasuki hari kedua.
Demonstrasi yang sudah berlarutan selama lebih dua bulan telah menyebabkan polis terpaksa menggunakan kekerasan dan turut berdepan kecaman banyak pihak. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!