Berkokok di kandang kambing
SAYA tidaklah lewat sampai ke masjid untuk tunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha baru-baru ini. Setakat 8.15 pagi, itu dikira awal juga.
Namun, apabila saya tiba ke situ, ia sudah pun sesak. Seimbas pandang, saya tahu tidak akan dapat melangkah masuk ke ruang solat di dalam bangunan. Saya mendongak ke langit masih mendung. Ertinya, OK jugalah jika saya mencari tempat duduk di luar masjid yang beratapkan zink.
Sambil melangkah mencari ruang kosong yang sudah dipenuhi oleh para jemaah, tiba-tiba seorang jemaah menggamit lalu berengsot untuk memberikan saya ruang. Alhamdulillah, saya bersalaman dengan jemaah itu seraya berbalas senyuman.
‘Oh, jemaah orang Indonesia,’ kata hati saya.
Baharu sahaja duduk selepas solat sunat, saya terasa ada sesuatu yang menyentuh punggung saya. Saya tertoleh dan segera beralih sedikit untuk memberi ruang kepada seorang jemaah dari Bangladesh yang bersujud.
Saya sempat memantau pandangan ke sekeliling. Ruang solat di luar masjid ini dipenuhi dengan jemaah warga Indonesia dan Bangladesh.
Hanya sebahagian kecil sahaja para jemaah terdiri daripada orang tempatan. Mungkin ramai yang pulang ke kampung. Jadi, merekalah yang memenuhkan masjid.
Malah, pada hari-hari biasa untuk solat fardu pun, mereka memenuhi saf hingga sampai lima ke tujuh baris.
Saya teringat sebelum warga Indonesia dan Bangladesh datang ke negara kita, masjid dan surau boleh dikatakan lengang. Kadangkala hendak sampai ketiga saf pun susah, lebih-lebih lagi untuk solat Subuh.
Kehadiran masyarakat Indonesia dan Bangladesh kini menjadi kebiasaan. Malah, kita sudah tidak berapa kisah kerana mereka bergaul di dalam kelompok masing-masing.
Meskipun ada yang nakal dan tidak beradab, ramai lagi dari kalangan mereka yang kaki masjid. Di masjid pula, mereka disantuni oleh jemaah orang tempatan.
Saya teringat pada seorang warga Bangladesh bernama Shah Alam (benar, namanya Shah Alam) yang bertugas di Kumpulan Karangkraf. Dia hanya tukang sapu. Tetapi apabila masuk waktu solat, dialah yang akan melaungkan azan. Apabila imam lambat tiba, dialah yang terus ke hadapan untuk memimpin solat.
Warga Indonesia dan Bangladesh ini rata-ratanya buruh kasar. Oleh itu, aktiviti seperti menyusun kerusi, melipat meja atau membasuh pinggan sudah menjadi kebiasaan buat mereka apabila adanya aktiviti di masjid.
Maklumat Jabatan Imigresen Malaysia mencatat 3.3 juta warga asing yang bekerja secara sah di Malaysia pada tahun 2018.
Warga Indonesia ialah pekerja asing paling ramai iaitu sekitar 40 peratus sementara pekerja Nepal sekitar 25 peratus dan Bangladesh pula 15 peratus. Lain-lain kaum sekitar 20 peratus.
Warga Indonesia dan Bangladesh yang rata-ratanya beragama Islam berjumlah lebih 55 peratus daripada jumlah itu.
Apa yang menariknya, warga Indonesia dan Bangladesh kian diterima oleh masyarakat Melayu kerana mereka saudara seagama.
Mereka nampaknya boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik. Cara berpakaian pekerja asing daripada Indonesia terutamanya sudah saling tak tumpah dengan cara berpakaian masyarakat Melayu.
Jelas sekali, asimilasi dengan budaya tempatan menjadikan mereka tidak kekok dengan cara orang Melayu.
Pekerja asing daripada Nepal dan Vietnam juga menampakkan usaha untuk mengenali dengan budaya rakyat Malaysia. Mungkin kerana perbezaan agama, pekerja Nepal dan Vietnam kurang sedikit kemesraannya.
Daripada segi statistik keseluruhan, 3.3 juta orang merupakan angka yang besar. Namun jika dilihat dari sudut sosiologi keinginan untuk asimilasi dengan budaya tempatan menampakkan yang mereka sudah suka tinggal lebih lama di negara ini.
Orang yang ada budaya dan bahasa akan mengembik bila masuk ke kandang kambing.
Mereka akan cepat belajar budaya tempatan meskipun hanya beberapa tahun datang ke negara ini. Mereka yang tiada budaya dan tak reti bahasa, akan berkokok tidak henti-henti walaupun telurnya sebiji.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!