Ubat tidur jejaskan daya ingatan
MEDIK
PADA waktu tengah malam, lazimnya ramai yang sudah lena diulit mimpi, namun Muhd Azman Mohd Nawi, 44, masih termangu lagi. Beliau tidak dapat menikmati peluang itu. Pendek kata, Muhd Azman atau Azman sukar untuk melelapkan mata.
Kemelut yang dihadapi perunding acara dari hari ke hari itu menyebabkan beliau terpaksa menggantikan waktu tidur malam pada sebelah pagi.
Dilema merundung Azman apabila sebelum itu, lelaki itu kerap berjaga malam kerana menyelesaikan urusan kerjanya.
Kepada Sihat:Aktif beliau berkata, pada mulanya, sudah menjadi kebiasaan buatnya tidur pada pukul 2 pagi setiap hari. Bagaimanapun, 'jadual matanya' kian berubah apabila waktu tidurnya semakin lewat hingga kadangkala mencecah jam 5 pagi.
"Mujurlah saya bekerja sendiri. Ada ketikanya disebabkan tidak cukup tidur saya berasa amat letih, lesu dan mengantuk," ujar Azman yang telah berjumpa doktor untuk mengatasi masalah tidurnya baru-baru ini.
Jelas lelaki terbabit, pakar telah memberikannya ubat tidur untuk mengatasi masalahnya itu. Pun demikian, beliau tidak bergantung sepenuhnya pada ubat tersebut, sebaliknya cuba mendapatkan tidur secara normal.
Masalah dihadapi oleh Azman sering kedengaran. Namun, perkembangan itu sebenarnya tidak berapa sihat untuk semua yang berdepan situasi yang sama.
Kajian
Meneliti kaji selidik The Nielsen Company pada tahun lalu mengenai Kesihatan Tidur, sembilan daripada 10 orang atau seramai 89 peratus masyarakat Malaysia mengalami satu atau lebih masalah tidur.
Jika merujuk kepada perkongsian Kementerian Kesihatan Malaysia di laman web MyHealth pula, sisi penyakit sukar tidur atau disebut insomnia biasanya berlaku dalam kalangan warga emas.
Kekerapan insomnia pula iaitu 40 hingga 50 peratus merujuk kepada golongan berumur 60 ke atas yang mana lebih pada wanita berbanding lelaki.
Memperhalusi topik insomnia, Sihat:Aktif mendapatkan Pakar Neurologi, Gleneagles Hospital Penang, Pulau Pinang, Dr Sathindren Santhirathelagan untuk menghuraikan mengenainya.
Jelas Dr Sathindren, insomnia sebetulnya merupakan keadaan yang mana seseorang tidak mendapat tidur yang cukup untuk dirinya sama ada dari segi kualiti dan kuantiti.
Penderita akan mendepani sama ada masalah tidak boleh melelapkan mata, bangun terlalu awal atau kerap tidak dapat lelap semula.
"Sepatutnya, proses tidur terdiri daripada beberapa tahap. Tahap pertama, mengantuk; kedua, mata mula lelap; ketiga, tidur berlaku pergerakan mata (bermimpi) dan tahap keempat, tidak berlaku pergerakan mata, seluruh badan 'lumpuh', jantung serta pernafasan menjadi perlahan.
"Proses tidur melibatkan imbangan bahan-bahan kimia (neurotransmitters) dalam otak. Sekiranya proses terganggu, bahan kimia tersebut menjadi tidak seimbang, menjejaskan proses tidur dan berlakunya insomnia,” ujar Dr Sathindren.
Dari satu sisi lain, apakah pencetus kepada insomnia? Dr Sathindren memberitahu, gangguan tidur boleh berlaku disebabkan faktor kesihatan, tekanan, masalah fisiologi, gangguan seksual, gajet elektronik, malah bunyi bising persekitaran.
Sakit mental?
Umum mengetahui tidur merupakan 'makanan' fisiologi tubuh. Justeru, timbul persoalan, sekiranya keperluan berkenaan tidak mencukupi, adakah bakal menjejaskan seseorang terutama berkaitan fungsi otak?
Menjelaskan tanda tanya itu, terang Dr Sathindren, penderita insomnia tidak akan mengalami sakit mental atau rosak otak. Bagaimanapun, awas buat golongan langsung tidak tidur! (Namun itu jarang sekali berlaku).
Menurutnya, masalah tidak cukup tidur akan mengakibatkan gangguan neurotransmitter dan membawa kepada perasan gelisah atau murung.
"Penyakit insomnia dihidapi oleh individu berbeza, biasanya mempunyai tahap. Pada awalnya ia hanya jarang-jarang berlaku, kerap berlaku dan kadang-kadang hilang begitu.
"Sesiapa sahaja boleh mendapat gangguan tidur, terutamanya kepada individu yang berisiko seperti mengamalkan gaya hidup tidak sihat dari segi makanan, senaman dan aktiviti harian," katanya.
Ulas Dr Sathindren, lazimnya mereka yang mempunyai pola tidur tidak tetap atau terpaksa bekerja mengikut syif menyebabkan otak keliru untuk memulakan proses tidur.
Bagi mendapat rehat yang berkualiti, Dr Sathindren menyarankan agar seseorang tidur antara enam hingga 10 jam. Waktu tidur itu bagaimanapun menurutnya berbeza setiap individu sama ada lebih atau kurang.
"Yang penting, individu itu berasa segar setelah bangun walaupun jangka waktu tidur singkat," katanya.
Rawatan
Bagi memulihkan insomnia, Pegawai Farmasi Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Khairul Bariah Johan menjelaskan, rawatan yang diberikan kepada pesakit bergantung kepada keadaan yang dihadapi.
Kebiasaannya, penderita terlebih dahulu dinasihatkan untuk mengamalkan amalan tidur yang baik.
Sekiranya kaedah itu tidak mendatangkan kesan, barulah pesakit akan diberikan ubat tidur sedative-hypnotic seperti benzodiazepines, barbiturates dan pelbagai lagi ubat hypnotic yang lain.
"Secara umumnya, objektif rawatan untuk insomnia adalah untuk membolehkan pesakit mendapat tidur yang lena. Ubat tidur bukan rawatan utama. Insomnia merupakan gejala bagi sesuatu masalah. Oleh itu untuk mengatasinya, perlu dirawat puncanya," katanya kepada Sihat:Aktif ketika diwawancara baru-baru ini.
Menerangkan lebih lanjut, Khairul Bariah menjelaskan, ubat tidur hanya berfungsi mendorong pesakit agar lena.
Untuk itu, ia sangat berkesan jika ubat tersebut digunakan hanya dalam jangka masa yang pendek.
"Bagaimanapun, penggunaannya (ubat tidur) yang kerap boleh mendatangkan kesan kepada pesakit.
"Sesetengahnya ubat tidur pula boleh menyebabkan pesakit mengalami masalah daya ingatan dan sukar untuk menumpukan perhatian terhadap sesuatu setelah mengambilnya," ujar Khairul Bariah.
“Proses tidur terdiri daripada beberapa tahap. Tahap pertama, mengantuk; kedua, mata mula lelap; ketiga, tidur berlaku pergerakan mata (bermimpi) dan tahap keempat, tidak berlaku pergerakan mata, seluruh badan ‘lumpuh’, jantung serta pernafasan menjadi perlahan.
“Proses tidur melibatkan imbangan bahan-bahan kimia (neurotransmitters) dalam otak. Sekiranya proses tersebut terganggu, bahan kimia tersebut menjadi tidak seimbang, menjejaskan proses tidur dan berlakunya insomnia,” Dr Sathindren Santhirathelagan
Masalah insomnia boleh berlaku walaupun tiada sebab-musabab
MELIHAT dari sudut psikologi, Pakar Perunding Psikiatri, Sekolah Perubatan Antarabangsa, Management & Science University, Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi tidak menafikan insomnia boleh menyebabkan gangguan kesihatan.
Menurutnya, masalah sukar melelapkan mata itu banyak berkait rapat dengan penyakit kemurungan, bipolar, keresahan serta skizofrenia.
"Faktor persekitaran turut memainkan peranan seperti masalah kewangan, pengambilan dadah, bekerja syif, dan mengalami jet-lag ekoran perbezaan waktu tidur tempat asal dan destinasi perjalanan yang dilalui.
"Namun begitu, ada kalanya seseorang menghadapi masalah tidak cukup tidur walaupun tiada punca dapat dikenalpasti. Keadaan ini dinamakan insomnia idiopatik atau insomnia primer," katanya.
Menurut Dr Muhammad Najib, masalah insomnia lain pula biasanya dinamakan insomnia sekunder yang melibatkan punca yang ketara.
Bagi merawat insomnia sekunder itu, puncanya harus diatasi terlebih dahulu.
"Contohnya jika seseorang mengalami masalah psikologi seperti kemurungan, ia perlu dirawat dengan ubat antikemurungan, kaunseling dan psikoterapi,” terang Dr Muhammad Najib.
Menurut beliau lagi, dalam kebanyakan kes apabila punca insomnia sekunder telah dirawat, masalah insomnia yang dihadapi akan hilang.
Dalam kes insomnia primer, doktor akan memulakan rawatan dengan memberi kaunseling tentang kaedah ‘kesihatan tidur’ atau teknik untuk membetulkan rutin tidur yang sihat.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Najib berkata, insomnia bukan punca penyakit mental, tetapi jenis penyakit psikologi yang menyebabkan terjadi isu itu. Misalnya, pesakit kemurungan lantaran masalah untuk tidur, lalu menyebabkan mereka mengalami keletihan dan lesu.
Beliau turut menasihati pesakit agar tidak bergantung pada ubat sebaiknya menyarankan agar mengurangkan dos secara beransur-ansur jika rutin tidur kembali normal.
5 tip berguna kembalikan tidur yang sihat:
1. Tetapkan waktu kitaran tidur yang seragam untuk bangun pagi.
Contohnya, jam 6 pagi walaupun hanya dapat tidur dua atau tiga jam sahaja. Pastikan tidak menggantikan waktu tidur pada siang hari bagi membolehkan pesakit lebih mudah tidur pada waktu malam.
2. Gunakan katil hanya untuk tidur.
Elak membuat aktiviti lain seperti melayari laman sosial dan sebagainya.
3. Elakkan minuman kafein atau berkarbonat selepas jam 4 petang.
Jika boleh, tinggalkan terus kerana minuman sebegitu boleh menyebabkan otak terangsang dan menyukarkan lagi untuk tidur.
4. Berhenti merokok. Nikotin dalam rokok juga boleh mengganggu tidur.
5. Lakukan senaman pada awal petang agar tubuh menjadi penat dan mudah tidur.
Sebelum tidur mandi air panas dan minum susu panas bagi memudahkan untuk tidur.
Sumber: Pakar Psikiatri, Sekolah Perubatan Antarabangsa, Management & Science University, Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!