Operasi SAR dua warga Singapura masuk hari keenam

Haris Fadzillah (dua dari kiri) melihat kayak digunakan mangsa yang dibawa ke Pangkalan Hadapan Carilamat Penyabong Mersing hari ini.
Haris Fadzillah (dua dari kiri) melihat kayak digunakan mangsa yang dibawa ke Pangkalan Hadapan Carilamat Penyabong Mersing hari ini.
A
A
A

MERSING - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua warga Singapura dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti berkayak di perairan Endau, Mersing yang masuk hari keenam hari ini diperluaskan kepada 1,200 batu nautika meliputi perairan Endau, Mersing hingga ke Beserah, Kuantan.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Mersing, Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, operasi melibatkan kekuatan seramai 119 anggota meliputi pelbagai agensi dengan 10 aset laut digerakkan.

Menurutnya, keadaan ombak laut agak bergelora dengan ombak setinggi sekitar 1.5 hingga tiga meter yang mana boleh mendatangkan bahaya kepada bot kecil.

"Semalam sebuah kayak dan barang-barang peribadi disyaki milik mangsa ditemui nelayan di perairan pelabuhan Kuantan. Kayak dan barangan tersebut tiba di pangkalan hadapan carilamat pada jam 8.30 pagi tadi.

"Pengecaman serta pengesahan telah dilakukan ahli keluarga dan memang ia milik mangsa. Menurut keluarga kayak dijumpai juga adalah digunakan ketika mangsa hilang," katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat Penyabong Mersing, hari ini.

Tambahnya, ada pasukan yang diwujudkan bagi mengkaji di mana kemungkinan mangsa berada selain mewujudkan sektor-sektor pencarian dari Endau ke Berserah.

"Permohonan dari pihak keluarga mangsa untuk melakukan pencarian di pulau kita penuhi, kita hantar bot untuk melakukan pencarian di sekitar pulau-pulau di Mersing," katanya lagi.

Beliau juga memaklumkan pihaknya masih menunggu arahan lanjut pihak atasan bagi operasi SAR berkenaan memandangkan operasi pencarian yang telah masuk hari keenam hari ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, mangsa dikenali sebagai Tan Eng Soon, 62, dan Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang selepas kayak dinaiki terpisah dengan 13 lagi rakan mereka yang sedang berkayak dari Endau-Mersing menuju ke Pulau Mertang, kira-kira jam 5 petang Khamis lalu.

Mereka dikatakan terpisah daripada kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat.

ARTIKEL BERKAITAN:

Warga Singapura hilang: Kayak, barang peribadi mangsa ditemui

Dua warga Singapura hilang di laut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!