Bolehkah hadiri perkahwinan adik-beradik kandung di gereja?

DIHARUSKAN untuk memenuhi jemputan perkahwinan saudara kandung di gereja, tetapi mestilah memenuhi batas yang ditetapkan oleh syarak. -Gambar hiasan
DIHARUSKAN untuk memenuhi jemputan perkahwinan saudara kandung di gereja, tetapi mestilah memenuhi batas yang ditetapkan oleh syarak. -Gambar hiasan
A
A
A

TATKALA mendengar khabar gembira bahawa adik-beradik kita dilamar orang atau meminang wanita untuk menjadi suri hidupnya, pasti kita berasa teruja.

Ya, siapa yang tidak gembira apabila melihat insan kesayangan kita bakal mendirikan masjid.

Malah, barangkali kitalah antara insan yang sibuk membantu untuk persiapan perkahwinan adik-beradik kita.

Namun, bagaimana pula jika saudara kandung kita itu bukan Islam dan berkahwin di gereja?

Apakah hukumnya apabila kita menghadiri majlis perkahwinannya di gereja?

Menurut para ulama Mazhab Syafie, hukum menghadiri jemputan walimah bukan Islam ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah Islam.

Ini juga dipersetujui oleh Imam al-Mardawi daripada Mazhab Hanbali yang menyebut, harus menghadiri walimah bukan Muslim dengan memetik pandangan Imam Ahmad dan Ibn Qudamah.

Berbalik kepada hukum asal seorang Muslim masuk ke dalam rumah ibadat agama lain, ia ialah harus jika mempunyai tujuan yang diharuskan syarak seperti untuk berdakwah, memenuhi jemputan berdialog antara agama dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Namun, ia dilarang sama sekali kehadiran ketika hari perayaan keagamaan mereka.

Menjawab persoalan tentang menghadiri perkahwinan saudara kandung si gereja, seorang Muslim itu diharuskan untuk hadir ke majlis perkahwinan di gereja.

Bahkan, ia disunatkan jika yang berkahwin itu terdiri daripada keluarga, sahabat handai, jiran tetangga atau jika kehadiran kita itu mampu memberi sumbangan kepada dakwah Islam.

Ia berdasarkan banyak riwayat daripada sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW yang masuk dan bersolat di gereja.

Begitu juga dengan isi perjanjian antara Saidina ‘Umar al-Khattab dengan Ahlu Dzimmah pada zaman beliau yang antara lain menyatakan bahawa mereka tidak akan menghalang kaum Muslimin daripada memasuki gereja sama ada waktu siang atau malam.

Bagaimanapun, terdapat tegahan memasuki rumah ibadat agama lain sewaktu hari perayaan.

Daripada Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian menemui orang-orang Musyrik di gereja-gereja (tempat ibadah) mereka pada hari raya mereka, kerana kemurkaan (ALLAH) turun kepada mereka." (Riwayat al-Baihaqi)

Menurut Ibn Muflih bersifat makruh dan bukannya haram.

Apapun, kita kena ingat bahawa agama Islam tidak pernah memutuskan silaturahim sesama keluarga meskipun wujud perbezaan agama dan tidak melarang ikatan persaudaraan serta persahabatan dengan bukan Islam.

Namun, kehadiran itu mestilah terbatas sebagai hadirin biasa dan tidak boleh terlibat dengan sebarang proses ritual seperti membaca doa, mengiringi pasangan pengantin masuk ke gereja atau berada di ‘altar’ (pentas) sewaktu proses perkahwinan yang diupacarakan paderi sedang berlangsung.

Selain itu, sebarang aktiviti yang bercanggah dengan syariat Islam seperti tarian, minum arak dan pergaulan bebas lelaki dan wanita wajib dielakkan walau dengan apa jua cara sekalipun.

Ingatlah, dalam kita meraikan adik-beradik yang berkahwin, jagalah batas-batas seperti yang ditetapkan oleh syarak.

(Sumber: Portal Kemusykilan Agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!