Murid dibuli sehingga berkerusi roda

Ahmad bersama keluarganya menunjukkan salinan foto x-ray tulang belakang Angah (berkerusi roda).
Ahmad bersama keluarganya menunjukkan salinan foto x-ray tulang belakang Angah (berkerusi roda).
A
A
A

AYER HITAM - Seorang murid di sebuah sekolah di Ayer Hitam, di sini mendakwa menjadi mangsa buli tiga murid lain iaitu seorang lelaki dan dua perempuan di sekolah itu, sejak tahun lalu.

Kanak-kanak berusia 9 tahun itu yang dikenali sebagai Angah kini tidak dapat berjalan dengan sempurna dan bergantung kepada kerusi roda selepas mengalami tekanan di bahagian tulang belakang didakwa berpunca daripada kejadian buli tersebut.

Pada 15 sehingga 22 Julai lalu, Angah ditahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas mengadu sakit kaki dan sukar untuk berjalan dan hasil Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) mendapati tulang belakang C5 dan C6 bengkok disebabkan terhentak.

Angah mendakwa, dia pernah ditendang di bahagian belakang dan paha selain diperas ugut merampas wang saku yang dibawanya ke sekolah oleh si pelaku.

"Kadang-kadang depa terajang, depa sepak belakang, sepak pinggang lepas tu paling saya tak suka, depa ambil duit saya.

"Kadang-kadang (pau) tiga, empat ringgit depa ambil dalam poket, kalau saya bawa duit syiling, depa tak ambil, depa ambil duit kertas sahaja.

"Depa buat saya dari darjah dua, sorang laki dua perempuan, dia kata abah sakit mental abah gila, satu keluarga kami tak cerdik, dok mengata," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah mereka di sini.

Sementara itu, ibu angah mahu dikenali sebagai Asma, 32 berkata, dia kesal apabila pihak sekolah menafikan perkara berkenaan selain tidak mengambil apa-apa tindakan apabila dia membuat aduan.

Artikel Berkaitan:

Angah kini menggunakan kerusi roda untuk bergerak selepas mengadu sakit berjalan.
Angah kini menggunakan kerusi roda untuk bergerak selepas mengadu sakit berjalan.

Jelasnya yang merupakan seorang kakitangan awam, perkara tersebut hanya diketahuinya selepas melihat kelainan ditunjukkan Angah yang sukar untuk berjalan malah anaknya tidak mahu pergi ke sekolah sejak Jun lalu.

"Dia mula jalan tak macam biasa sejak pertengahan tahun lepas. Awal tahun ini, saya nampak dia jalan makin teruk.

"Terbaru dia balik habaq kat saya cikgu suruh lompat bintang, dia tak boleh buat cikgu marah, dia balik menangis kat saya. Kemudian saya bawak pi klinik, rujuk ke pakar kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah dan kemudiannya kena tahan wad," katanya.

Sementara itu, bapa Angah yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 33, mengakui sedih dengan kejadian tersebut.

Menurutnya, dua laporan polis telah dibuat iaitu pada 12 Ogos di Balai Polis Jitra berhubung kejadian buli itu dan satu lagi laporan pada 13 Ogos berhubung kenyataan fitnah seorang guru terhadapnya di Balai Polis Air Hitam yang mempunyai kaitan dengan kejadian buli tersebut.

"Sampai anak saya jadi macam ni saya rasa sedih sangat. Memang saya akan tukar anak ke tempat lain, memang saya tak nampak sekolah tu depa boleh belajar," katanya yang merupakan pesara polis.

Tambah Ahmad, anaknya akan menjalani pembedahan pada 27 Ogos depan, namun tidak ada wakil sekolah yang menjenguk Angah setakat ini.

Perkara tersebut turut mendapat perhatian Pegawai Psikologi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Wan Su Haron yang juga merupakan Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang turun padang melawat keluarga itu.

Sementara itu, Exco Pendidikan Kedah, Dr Salmee Said ketika dihubungi memaklumkan beliau akan meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!