Seludup dadah, artis berdepan hukuman mati
ARTIS Indonesia, Steve Emmanuel, 35, bakal berdepan hukuman mati setelah menyeludup dadah dipercayai kokain dari Belanda.
Polis merampas dadah seberat 92.04 gram di kondominium Kintamani, Mampang Jakarta Selatan, Jumaat lalu.
Ketua Polisi Metro Jakarta Barat AKBP, Erick Frendriz mengatakan hukuman maksimum adalah hukuman mati.
"Hukuman bakal dikenakan adalah minimum lima tahun penjara dan hukuman maksimum penjara seumur hidup atau hukuman mati," katanya.
Erick berkata pihaknya sedang menyiasat sama ada dadah itu dijual atau kegunaan sendiri.
Menurut Erick, jumlah dadah yang diseludup dari Belanda itu cukup banyak dan mustahil Steve menggunakan dadah seorang diri.
"Ikut logik, tidak mungkin Steve hisap dadah seorang diri bagaimanapun kes ini masih dalam siasatan polis," katanya.
Dalam pada itu, kes ini disiasat mengikut pasal 114 ayat (2) sub 112 ayat (2) Undang-Undang Republik Indonesia nomor 35 tahun 2009 tentang narkotika.- Detik.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!