Jamil Khir gesa penghinaan terhadap anggota ATM ditarik balik

Jamil Khir
Jamil Khir
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO Kedah kesal apabila ada pihak menghina wira negara menjelang sambutan hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menggesa tuduhan keji dan penghinaan yang dilemparkan terhadap anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditarik balik, termasuk cadangan memindahkan sektor pekerjaan itu.

Menurutnya, tuduhan terhadap pasukan keselamatan itu sama sekali tidak boleh diterima kerana banyak jasa disumbangkan dalam menerajui arus kemerdekaan.

“Tiada yang dapat memadamkan bukti pengorbanan dan perjuangan anggota ATM. Ia bukan sekadar ungkapan sebaliknya pengorbanan itu dibuktikan dengan darah yang ditumpahkan selain nyawa yang terkorban,” katanya.

Jamil Khir berkata, anggota ATM bukan sahaja peneraju ke arah proses kemerdekaan, malah mempertahankan kemerdekaan dengan darah dan nyawa mereka demi negara agar harmoni serta makmur.

“ATM berjuang dengan mempertaruhkan nyawa. Slogan ‘biar berputih tulang, jangan berputih mata’ dibuktikan melalui sejarah wira yang terkorban, cacat dan cedera, balu yang ditinggalkan serta anak-anak yang membesar tanpa bapa,” katanya.

Sebagai individu yang pernah berkhidmat di bawah ATM selama 24 tahun, Jamil Khir kecewa kerana di saat negara sedang membuat persiapan memperingati hari kemerdekaan, pejuang negara dihina dengan tuduhan ‘hanya pandai makan dan tidur’.

“Saya sendiri dapat rasakan tuduhan itu terlalu hina dan tidak dapat diterima sama sekali. Adakah ini balasan atas segala pengorbanan anggota ATM yang tidak pernah mengungkit sejarah duka mereka mempertahankan negara? Biarlah ia menjadi amal khair sebagai pemberat timbangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, tarikh keramat 31 Ogos amat bererti buat setiap rakyat Malaysia kerana negara pernah dijajah selama 446 tahun oleh penjajah silih berganti.

“Pengalaman dan perjalanan sepanjang dijajah amat menyakitkan walaupun sekadar membaca sejarah, apatah lagi yang dirasai pejuang kemerdekaan termasuk anggota ATM,” katanya.

Sebelum ini, ahli perniagaan, Koon Yew Yin dalam laman blog menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah sewajarnya dengan mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan terlalu besar.

Yew Yin juga meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat mereka yang tidak diperlukan antaranya anggota tentera yang disifatkan hanya makan dan tidur.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tentera adalah pilihan terakhir negara

Provokasi tentera: Mat Sabu hanya 'menikus', kata pemimpin Pas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!