Tingkat kemahiran sektor penyejukbekuan dan penyaman udara
Daikin mengamalkan prinsip kepimpinan yang mempercayai kumulatif pembangunan setiap individu dalam sesebuah syarikat adalah asas kepada pembangunan syarikat tersebut. (Foto: Portal Daikin)
A
A
A
Syarikat itu telah memeterai memorandum perjanjian dengan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) iaitu salah satu jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia dan yang kedua, memorandum persefahaman antara JTM dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).
Pemeteraian memorandum perjanjian telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Daikin Malaysia Sdn Bhd, Ooi Cheng Suan dan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Sutekno Ahmad Belon.
Manakala memorandum persefahaman disempurnakan oleh Cheng Suan dan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia dan Ketua Pegawai Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Elanjelian Venugopal.
Majlis itu telah disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.
Cheng Suan berkata, pelaksanaan program itu melibatkan kerjasama antara Daikin dan JTM bagi menyediakan kursus pemasangan penyaman udara secara teori dan praktikal di seluruh Malaysia.
"Kursus selama tiga hari ini akan diadakan di Institusi Latihan Perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di seluruh Malaysia.
"Tujuan program ialah bagi menaiktarafkan kecekapan dan kemahiran juru pasang penyaman udara," katanya.
Tambahnya, Daikin dan PSMB akan menyediakan subsidi yuran penyertaan program dan pelatih hanya perlu membayar RM190 daripada yuran asal RM900.
Menurut Cheng Suan, di Daikin selain pelaburan terhadap kemudahan dan fasiliti tempat latihan, syarikat turut berpegang teguh terhadap pelaburan sumber manusia.
"Daikin mengamalkan prinsip kepimpinan yang mempercayai kumulatif pembangunan setiap individu dalam sesebuah syarikat adalah asas kepada pembangunan syarikat tersebut.
"Secara ringkasnya, kami amat serius dalam memperkasakan pembangunan pekerja demi mencapai kejayaan bersama dengan menaiktaraf pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam pasaran penyaman udara," katanya dalam kenyataan akhbar.
Juruteknik pemasangan penyaman udara yang berminat menyertai program ACCT, boleh mendaftar menerusi https://academy.daikinmalaysia.com.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!