Selangor Agrofest 2019 sasar nilai jualan RM800,000
SUBANG JAYA - Kerajaan Selangor menyasarkan sebanyak RM800,000 nilai jualan sempena Selangor Agrofest 2019 pada 5 hingga 8 September ini.
Ekspo pertanian yang merupakan program tahunan itu akan diadakan di Bulatan Bazarena Shah Alam.
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, Selangor Agrofest 2019 kali ini melibatkan penyertaan yang lebih besar berbanding sebelum ini.
"Dari segi jualan kita sasarkan ada peningkatan berbanding sebelum ini di mana jumlah pengunjung dianggarkan seramai 150,000 dengan jualan sebanyak RM800,000.
"Ekspo pertanian kali ini akan bertemakan Pemodenan Pertanian Ke Arah Kehidupan Lestari dan memfokuskan kepada pemodenan dan teknologi terkini dalam industri pertanian," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Selangor Agrofest 2019 di tapak Pasar Tani Kelana Jaya di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar.
Izham berkata, terdapat pelbagai acara menarik yang dirangka sepanjang berlangsungnya ekspo pertanian kali ini.
"Antaranya pameran penternakan, perikanan, pertanian dan Industri Asas Tani (IAT).
Turut diadakan jualan jimat rakyat, pertandingan masakan juadah kampung, jualan makanan istimewa daerah Selangor dan pelbagai lagi.
"Sebanyak 10 jabatan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Pertanian akan turut serta menjayakan Selangor Agrofest 2019 ini," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri turut menyediakan 100 lot pameran bagi agropreneur yang berminat untuk menyertai karnival itu.
"Kerajaan negeri bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam menyediakan logistik dan susun atur yang selesa untuk semua jabatan, agensi, GLC, agropreneur dan seluruh pengunjung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!