Pekerja binaan maut tertusuk besi cerucuk

Anggota bomba menjalankan kerja mengalihkan timbunan besi cerucuk konkrit di tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa.
Anggota bomba menjalankan kerja mengalihkan timbunan besi cerucuk konkrit di tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja binaan warga asing maut apabila perutnya tertusuk besi cerucuk ketika sedang menjalankan kerja-kerja di tapak pembinaan berhadapan Pantai Medical Centre (PMC), Jalan Pantai Baru di sini.

Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba Hamid Daud berkata, mangsa yang dikenali sebagai Hoque Aynal merupakan warganegara Bangladesh.

Menurutnya, pihaknya menerima talian kecemasan yang memaklumkan mengenai kejadian kira-kira jam 1.43 petang.

"Pusat Gerakan Operasi kemudiannya menggerakkan 10 anggota bersama sebuah jentera dan van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Pantai ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira jam 1.49 petang.

"Setibanya di lokasi kejadian mangsa didapati mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan maut di tempat kejadian," katanya.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika pekerja pembinaan sedang melakukan kerja-kerja pemindahan besi cerucuk konkrit dengan menggunakan kren.

"Anggota bomba kemudiannya mengalihkan timbunan besi cerucuk konkrit di tempat kejadian bagi memudahkan operasi.

"Pihak paramedik ambulan Pusat Perubatan Universiti Malaya bersama pegawai perubatan berada di lokasi dan mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!