Berlapang dada, berjiwa besar urus perbezaan pandangan
ALOR SETAR - Hubungan baik antara kaum di negara ini dibimbangi semakin keruh sekiranya kalangan pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gagal berlapang dada dan berjiwa besar dalam mengurus perbezaan pandangan.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, apa jua keadaan sekalipun, kita harus mengutamakan kepentingan negara selain memilih jalan perundingan, bukannya dengan memaparkan sikap kekerasan dan kedegilan.
Menurutnya, ini kerana perpaduan, keamanan dan kedamaian hidup pelbagai kaum dan saling hormat menghormati adalah cara kehidupan rakyat Malaysia.
“Isu Dr Zakir Naik perlu ditangani dengan penuh hikmah. Sementara kita tidak bersetuju dengan tuduhan terhadap masyarakat India di Malaysia seperti diungkapkan Zakir, kita juga tidak setuju dengan desakan beliau dihantar balik ke India,” katanya.
Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia kesal polemik berkaitan Zakir semakin hangat dibahaskan malah menyaksikan beberapa pemimpin kerajaan bertelagah sesama sendiri.
Menurutnya, pada masa sama, Dr Zakir harus memahami dan menghormati keharmonian kaum yang unik di Malaysia.
“Kita setuju dengan pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membenarkan Dr Zakir terus kekal di Malaysia. Namun, Dr Zakir juga harus hormati dan memahami perlembagaan negara, kepelbagaian agama dan budaya serta mematuhi perundangan negara ini,” katanya.
Mahfuz berkata, pihaknya percaya pendakwah yang dikehendaki New Delhi itu peka dengan syarat-syarat yang ditetapkan negara ini.
“Syarat itu bukanlah penghalang untuk aktiviti keagamaan Dr Zakir, hanya sebagai garis panduan bagi memastikan keharmonian dan kestabilan politik negara ini harus didahulukan,” katanya.
Menurutnya, adalah tidak wajar untuk Dr Zakir diusir keluar dan pada masa sama tidak wajar untuk mana-mana individu bukan warganegara Malaysia membuat kesimpulan negatif terhadap kesetiaan mana-mana rakyat negara ini.
“Negara ini mempunyai undang-undang dan yakin ia mampu menanganinya,” katanya.
Sementara itu, Dr Zakir dalam satu kenyataan mendakwa ucapannya berhubung penganut Hindu di negara ini diambil di luar konteks.
Membalas kritikan terhadap ucapannya itu, Dr Zakir menjelaskan ada beberapa kumpulan Hindu di negara ini memilih menyokong Perdana Menteri India, Narendra Modi, berbanding Dr Mahathir berhubung isu mengekstradisinya.
Menurutnya, rakaman ceramah beliau akan mendedahkan realitinya adalah bertentangan daripada apa yang didakwa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!