Tragedi berkayak: Mayat wanita warga Singapura ditemukan

Haris Fadzillah (duduk, tiga dari kiri) pada sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Penyabong Mersing hari ini.
Haris Fadzillah (duduk, tiga dari kiri) pada sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Penyabong Mersing hari ini.
A
A
A

MERSING - Mayat wanita dipercayai warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti berkayak di perairan Endau di sini ditemukan terapung oleh nelayan di perairan Kemaman, Terengganu, tengah hari tadi.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Mersing, Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, mayat ditemui oleh nelayan tempatan kira-kira jam 12.50 tengah hari dalam keadaan memakai jaket keselamatan.

Menurutnya, mayat ditemui kira-kira lima batu dari Zon Maritim Kemaman, Terengganu dan dibawa ke Zon Maritim Kemaman pada jam 4.30 petang tadi.

"Lokasi mayat ditemukan adalah 18 batu nautika dari kayak milik dua warga Singapura ditemui semalam, manakala 100 batu nautika dari lokasi terakhir dua warga Singapura itu iaitu mangsa lelaki, Tan Eng Soon, 62, dan mangsa wanita, Puah Geok Tin, 57, dilapor hilang, Khamis lalu.

"Waris sudah dimaklumkan. Waris akan bergerak ke Kemaman, Terengganu, bagi membuat pengecaman mayat terbabit.

"Bagaimanapun, kita masih belum mengesahkan lagi identitinya sehingga pengesahan dan pengecaman oleh pihak waris dibuat di Hospital Kemaman Terengganu," katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Penyabong Mersing hari ini.

Beliau berkata, pencarian di pulau persekitaran dihentikan berikutan pencarian dilakukan di lapan pulau 'hotspot' tidak menemui apa-apa.

Katanya, sektor pencarian juga digerakkan sehingga ke perairan Kemaman, Terengganu dari Kuala Rompin yang mana untuk aset laut akan membabitkan 400 batu nautika persegi.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN Warga Singapura hilang: SAR guna aset udara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!