Keluarga Acap tak putus asa, teruskan pencarian
SHAH ALAM - Biarpun hampir 150 hari peserta larian Gopeng Ultra Trail, Mohamad Ashraf Hasan, 29 atau lebih mesra dipanggil Acap dilaporkan hilang, ia tidak memutuskan semangat keluarganya untuk meneruskan usaha pencarian sehingga saat ini.
Abang Ashraf, Mohd Zahiruddin Hasan berkata, keluarganya tidak pernah berputus asa biarpun usaha pasukan mencari dan menyelamat (SAR) oleh pihak berwajib telah dihentikan.
“Sehingga hari ini kami masih jalankan usaha mencari walaupun skala carian kecil dan bantuan luar semakin berkurang.
“Kami belum sampai tahap berserah pada takdir, kami masih lagi nak berusaha, doa dan tawakal.
"Yang belum ditemui itu ada pertalian dengan kami, jadi kami akan terus berusaha mencari,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, dia yakin Ashraf masih boleh dijumpai.
“Kami memang yakin Ashraf boleh dijumpai, cuma akan ambil masa panjang kerana jika dilihat pada kawasan dilaporkan hilang hanya radius penempatan penduduk, bukan hutan tebal.
“Maka agak mustahil dia hilang tanpa jejak begini. Lambat laun akan tahu (apa berlaku pada Ashraf) tetapi perlu sedikit masa dan semoga ALLAH kabulkan doa kita,” katanya.
Pada 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer (km) disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas dalam pertandingan itu.
Operasi mencari kemudiannya digerakkan bermula di check point 6, lokasi terakhir mangsa dilihat iaitu kira-kira 12km dari garis mula.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Insya-ALLAH Acap akan pulang'
ARTIKEL BERKAITAN: Kronologi kehilangan Acap
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!