Pingat emas Sukma, kelengkapan sukan dijilat api

Nur Fazira (kiri) bersama ibunya memeriksa sisa kebakaran di rumah mereka di Kuala Bagan Tiang, Parit Buntar.
Nur Fazira (kiri) bersama ibunya memeriksa sisa kebakaran di rumah mereka di Kuala Bagan Tiang, Parit Buntar.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Ketua pasukan bola baling Sukan Malaysia (Sukma) Perak, Nur Fazira Mohd Nor tidak dapat menahan kesedihan apabila kesemua kelengkapan sukan dan pingat kemenangan termasuk pingat emas Sukma tahun lalu musnah selepas rumah keluarganya di Kuala Bagan Tiang di sini terbakar petang semalam.

Lebih malang, Nur Fazira bersama keluarganya turut tinggal sehelai sepinggang akibat tragedi malang itu.

Menurutnya, dalam kejadian jam 7.30 malam itu, hanya kakak sulung, Noraisah, 29, bersama empat anaknya berada di rumah, manakala dia dan ibunya berada di luar kawasan.

"Sewaktu kejadian, kakak saya difahamkan sedang memanaskan lauk di dapur dan tidak menyedari berlaku kebocoran gas. Dia kemudian pergi ke bilik air sebelum empat anaknya menjerit memaklumkan api sedang marak membakar di bahagian dapur.

"Syukur kelima-lima mereka berjaya menyelamatkan diri, namun segala harta benda dan dokumen penting termasuk pingat kemenangan saya dalam penglibatan sukan bola baling tidak dapat diselamatkan," katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian di Kuala Bagan Tiang di sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Pasukan Bola Baling Negeri Perak, Razmizan Razali dan Ikon Perangi Dadah Habis-habisan Daerah Kerian, Nizam Ramli.

Susulan kejadian itu, Nur Fazira mengakui persiapannya dalam beberapa kejohanan bola baling di peringkat kebangsaan dan antarabangsa agak terjejas setelah kesemua kelengkapan sukan musnah dijilat api.

Dia yang kini menuntut di tahun tiga pengajian Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam turut runsing memikirkan kelengkapan pengajiannya termasuk sijil-sijil penting untuk disertakan dalam resume kini tiada.

Artikel Berkaitan:

"Ketika ini kami sekeluarga terpaksa tinggal sementara di sebuah rumah inap desa di sini.

"Bagaimanapun, saya dimaklumkan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak sedang merancang untuk membantu meringankan beban kami dan saya turut bersyukur kejadian ini turut mendapat perhatian Persatuan Bola Baling Perak," katanya.

Razmizan (dua dari kiri) bersama wakil Persatuan Bola Baling Negeri Perak hadir menyerahkan sumbangan dana tabung kutipan kecemasan kepada Nur Fazira bagi meringankan beban ditanggung atlet itu dan keluarganya hari ini.
Razmizan (dua dari kiri) bersama wakil Persatuan Bola Baling Negeri Perak hadir menyerahkan sumbangan dana tabung kutipan kecemasan kepada Nur Fazira bagi meringankan beban ditanggung atlet itu dan keluarganya hari ini.

Sementara itu, Razmizan yang hadir melawat lokasi kejadian turut menyerahkan sumbangan daripada tabung kutipan kecemasan dilancarkan pihaknya bersama Persatuan Bola Baling Perak sejak semalam kepada Nur Fazira.

Menurutnya, jasa atlet bola baling itu terhadap negeri Perak dan negara cukup besar apabila mengetuai skuad Seladang memenangi pingat emas di Sukma Perak 2018 di samping membantu negara meraih gelaran naib johan pada Kejohanan Bola Baling Antarabangsa di Jakarta pada tahun 2016.

"Kami masih mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak prihatin untuk membantu Nur Fazira dan keluarganya bagi meneruskan kehidupan memandangkan atlet itu merupakan aset penting negeri dan negara dalam bidang sukan.

"Sumbangan boleh dibuat terus kepada atlet tersebut melalui akaun Bank Islam 08022020631258 atas nama Nur Fazira Mohd Nor.

"Kami mendoakan dia dan keluarga tabah menghadapi ujian ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!