Lemas dalam kolam pancing bapa

Kolam tempat mangsa terjatuh. - Foto Ihsan Polis
Kolam tempat mangsa terjatuh. - Foto Ihsan Polis
A
A
A

TAMPIN - Seorang kanak-kanak lelaki dua tahun ditemui mati lemas selepas terjatuh ke dalam kolam pancing milik bapanya di Felda Jelai di Gemas di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, ahli keluarganya hanya menyedari kejadian itu jam 12.35 tengahari apabila mangsa didapati tiada.

"Sebelum kejadian, mangsa bermain bersama kembar perempuannya serta tiga lagi adik beradik di depan rumah yang terletak berhampiran kolam pancing yang diusahakan bapa mereka.

"Kemudian ibunya meminta semua anak-anak masuk ke dalam rumah dan memandikan salah seorang anaknya di bilik air," katanya.

Bagaimanapun katanya, wanita berkenaan yang keluar dari bilik air menyedari mangsa tiada di dalam rumah dan terus mencari, namun terkejut melihatnya terapung di dalam kolam.

Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Felda Jelai untuk rawatan kecemasan, namun doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

"Tiada kesan lebam atau kecederaan pada tubuh mangsa dan mayatnya dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

"Pemeriksaan di kolam tempat mangsa terjatuh menemui selipar serta sebiji bola yang dipercayai digunakan mangsa untuk bermain sebelum kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!