Lelaki nekad rempuh anggota polis
SEBERANG PERAI TENGAH - Seorang lelaki bertindak nekad meloloskan diri daripada polis dengan memecut kereta yang dinaiki bersama rakannya dalam kejadian di Jalan Pasar di sini petang semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, suspek berusia 31 tahun dan rakannya berusia 49 tahun yang berada di dalam kereta jenis Perodua Myvi dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis cuba menghampiri mereka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata, selepas memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa, suspek yang kelihatan gelisah terus memecut kenderaan dan cuba merempuh anggota polis berkenaan.
Menurutnya, suspek memandu secara melulu melalui Jalan Pasar hingga ke Jalan Muthu Palaniappan dan melanggar beberapa kenderaan lain.
“Kereta yang dipandu suspek berjaya dihentikan polis ketika berada di hadapan sebuah rumah kedai dan penumpangnya dapat ditahan.
“Bagaimanapun pemandu bertindak lebih agresif dengan memecut kereta sebelum meninggalkan kenderaan itu di tepi jalan dan melarikan diri,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mohd Mustafa berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu suspek disewa sejak seminggu lalu dan sepatutnya dipulangkan kepada pemiliknya semalam.
Katanya, ujian air kencing yang dilakukan terhadap penumpang kereta yang ditahan mendapati dia positif methamphetamine dan polis kini sedang memburu pemandu yang melarikan diri itu.
“Semakan yang dibuat mendapati suspek yang ditahan itu mempunyai empat rekod lampau bersabit dua kes jenayah dan dua kes dadah manakala rakannya yang masih bebas memiliki lima rekod lampau bersabit kes dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!