[DIKEMASKINI] Parti politik tak seharusnya campur tangan

 Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan membidas pihak yang mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan tidak membuat rundingan dengan semua parti politik sebelum melaksanakan pengenalan tulisan jawi dan khat dalam buku teks Bahasa Melayu tahun empat.

Menurut Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, parti politik tidak seharusnya mencampuri kurikulum pendidikan kebangsaan sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada ahli akademik yang mempunyai kepakaran tentang perkara itu.

“Sejak bila kurikulum pendidikan kebangsaan harus digubal melalui konsultasi dan restu politik? Biarkan penggubal kurikulum kita dengan tugas mereka.

“Mereka punya kearifan yang kita tidak miliki,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook miliknya hari ini.

Jelas Mohamad lagi, tindakan segelintir pihak yang mempolitikkan isu tulisan jawi dan khat itu juga turut mengakibatkan usaha yang ingin dilakukan kerajaan tersasar daripada landasan sebenar.

Menerusi kenyataan sama, beliau turut menegaskan tulisan jawi diperkenalkan bukan untuk tujuan Islamisasi seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Kita mesti jelas kenapa seni khat diperkenalkan. Yang pasti bukan untuk tujuan Islamisasi. Islamisasi tidak memerlukan khat untuk dilaksanakan,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, keputusan kerajaan memperkenalkan seni khat dan tulisan jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu tahun empat adalah kekal.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, kerajaan selama ini tidak pernah menghalang kaum lain mengamalkan penulisan bahasa ibunda masing-masing, yang menjadikan negara ini istimewa.

Bagaimanapun keputusan itu ditentang pelbagai persatuan bukan Melayu termasuk Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang bertegas menolak pembelajaran tulisan jawi dan seni khat, walaupun kerajaan memutuskan ia subjek pilihan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!