Hantar daging korban sampai pintu rumah
TUMPAT - Mahu berkongsi rezeki dengan asnaf, Pertubuhan Kebajikan Insaniah Kajang Sebidang mengagihkan daging korban sampai ke pintu rumah.
Pengerusinya, Shaharudin Mohd Nor berkata, dua ekor lembu dikorbankan untuk diagihkan kepada 80 asnaf di Bendang Pak Yong dan kampung sekitar.
Menurutnya, kali ini kita mendapat kerjasama dengan legasi Haji Wok Leh bagi menyempurnakan penyembelihan, melapah, agihan daging dan memasak secara gotong-royong
"Terima kasih kepada keluarga Haji Wok Leh yang menyumbangkan lembu manakala barangan dapur daripada penyumbang Pertubuhan Kebajikan Insaniah Kajang Sebidang
"Kita gembirakan asnaf kerana mereka tidak mampu melakukan ibadah korban.
"Sedikit sumbangan daging korban ini untuk berkongsi rezeki dengan mereka," katanya pada Program Korban Perdana NGO Insaniah bersama Legasi Haji Wok Leh di rumah Harun Bendang Pak Yong hari ini.
Sementara itu, penerima Mek Nab Samah, 85, berkata, ini daging korban pertama diterimanya ketika umat Islam menyambut Aidiladha.
"Rezeki makcik dapat daging korban, bolehlah makcik goreng untuk makan bersama cucu nanti.
"Lagi pun makcik tak korban tahun ini, sudah lama tak korban lembu kerana tak mampu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!